Jatuhkan PH: Nik Zawawi sedia berdialog

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh menyatakan keterbukaannya untuk berdialog dengan mana-mana pihak dari kerajaan Pakatan Harapan (PH).

- Advertisement -

Ia berhubung dengan ucapan beliau mengatakan kewajipan menjatuhkan kerajaan PH pada muktamar tahunan parti itu yang diadakan di Kuantan tempoh hari.

“Saya bersedia untuk berdialog dengan mana-mana pihak dari kerajaan PH pada bila-bila masa secara terbuka di televisyen dengan syarat mesti disiarankan secara langsung atau di tempat terbuka seperti stadium dan seumpamanya.

“Insya-Allah saya akan jelaskan apa nas dan dalil secara terperinci melalui kaedah dalam agama.

“Ia bagi menjelaskan kenyataan saya bahawa kerajaan PH mesti dijatuhkan dan diganti dengan sebuah kerajaan yang mendaulahkan di dalamnya syariat Islam serta melaksanakan hukum-hukum Allah yang menjadi rahmat kepada sekalian alam,” katanya kepada Harakahdaily.

Terdahulu, Pengarah Syariah Parti Amanah Negara (PAN), Zolkharnain Abidin dalam satu penulisannya yang disiarkan dalam Malaysiakini menyatakan pelik dengan fatwa wajib menjatuhkan kerajaan PH yang dikeluarkan Ketua Dewan Ulamak PAS itu.

“Cuma ana nak beritahu enta, fatwa enta wajib jatuhkan kerajaan sedia ada ini agak pelik.

“Sebab enta guna kalimah wajib, dan kalimah wajib adalah kalimah yang punya nilai hukum dari sudut syarak.

“Rakan-rakan kalimah wajib iaitu sunat, harus, makruh, haram, mustahab, mandub tidak berdiri sendiri tanpa sokongan dalil,” tulisnya.

Justeru, perlu ada sokongan dalil daripada sumber syarak sama ada al-Quran atau hadis.

Mengulas lanjut, Dr Zawawi berkata, dalam Islam Allah SWT telah meletakkan hukum tertentu kepada perkara yang berlaku di hadapan.

Menurutnya, mana-mana kerajaan yang wujud menyimpang dari landasan agama tidak menegakkan daulah Islamiah dan tidak melaksanakan syariat Allah wajib dijatuhkan mengikut hukum syarak. – HARAKAHDAILY 29/6/2019

- Advertisement -