Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajjal akhir zaman (35)

- Advertisement -

وَمَا نُرْسِلُ الْمُرْسَلِينَ إِلَّا مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ ۚ وَيُجَادِلُ الَّذِينَ كَفَرُوا بِالْبَاطِلِ لِيُدْحِضُوا بِهِ الْحَقَّ ۖ وَاتَّخَذُوا آيَاتِي وَمَا أُنذِرُوا هُزُوًا

- Advertisement -

“Dan tidak Kami mengutus Rasul-rasul, melainkan sebagai pemberi berita gembira dan pemberi amaran; dan orang-orang yang kafir membantah dengan alasan yang salah untuk menghapuskan kebenaran dengan bantahan itu; dan mereka jadikan ayat-ayatku, dan amaran yang diberikan kepada mereka sebagai ejek-ejekan.”

Penekanan utama ayat:

●      Nabi tiada kuasa menghukum

Pada ayat yang lalu, orang kafir mencabar Nabi S.A.W supaya menurunkan azab sebagaimana yang pernah menimpa umat terdahulu. Ayat ini menerangkan bahawa Nabi S.A.W hanyalah pemberi peringatan baik dan buruk. Baginda tidak memiliki kuasa menghukum atau mengganjarkan sesuatu kepada manusia. Semua itu adalah kuasa ekslusif Allah.

●     Helah jidal

Ramai ulamak mengharamkan perdebatan kerana ia lebih banyak membawa keburukan daripada kebaikan. Walau bagaimanapun, ia boleh diadakan tetapi perlu mempunyai garis panduan yang rapi supaya matlamat mencari kebenaran itu benar-benar dapat dicapai. Jika tidak, ia hanya akan menjadi platform menyebarkan kebatilan dan semakin menutup penerimaan orang terhadap kebenaran.

Ibrah akhir zaman:

Sebagaimana huraian pada ayat ke 5 dan juga 15 ayat ini mempunyai kaitan rapat dengan gejala Post-Truth yang sedang melanda dunia dewasa ini. Wabak yang cuba mengalihkan perhatian manusia daripada mencari kebenaran. Kerana Islam adalah agama yang benar, dan sentiasa berada di atas jalan kebenaran, maka satu-satunya cara bagi mengelakkan orang mendekati Islam adalah dengan menawarkan kebatilan sebagai alternatif.

Firman Allah S.W.T: 

فَذَٰلِكُمُ اللَّـهُ رَبُّكُمُ الْحَقُّ ۖ فَمَاذَا بَعْدَ الْحَقِّ إِلَّا الضَّلَالُ ۖ فَأَنَّىٰ تُصْرَفُونَ 

“Maka demikianlah Allah tuhan kamu yang benar. Maka tiadalah selepas kebenaran (post-truth) melainkan kesesatan semata-mata. Lalu bagaimanakah kamu boleh terpedaya dengannya?!”

[Yunus:32]

Walaupun sebilangan sarjana dan jurnalis membezakan antara penipuan dan post-truth, namun penipuan merupakan perkataan yang paling sinonim bagi menerangkan maksudnya. Post-truth juga diistilahkan dengan half-truth iaitu separa benar, di mana kebenaran dan pembohongan bercampur aduk, fakta dan dan auta dipersembahkan dalam ruang yang sama, dengan tujuan memanipulasi kepercayaan awam bagi menjayakan agenda tertentu.

Dalam sebuah artikel dari majalah The Economist menyatakan perbezaan antara politik Post-Truth dan pembohongan ialah penganut Post-Truth – sama ada sedar atau tidak – tidak memalsukan atau menentang kebenaran, tetapi menjadikan kebenaran pada tahap sekunder. Mereka lebih berminat dalam menilai sesuatu secara prejudis dan mengabaikan data serta fakta dengan menggunakan istilah yang bombastic seperti ‘fakta alternatif’.

Secara tidak langsung, gejala Post-Truth membenarkan argument Nichollo Machiavelli mengenai manusia sebagai haiwan politik yang sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai matlamat atau dalam bahasa yang lebih mudah, matlamat menghalalkan cara. Walaupun bertentangan dengan moral dan akhlak, penipuan hari ini dijadikan alat bagi mencapai segala matlamat bukan sahaja dari sudut politik, malahan ekonomi, budaya bahkan dalam hubungan kekeluargaan dan keagamaan.

Gejala penipuan bukan sahaja menyerang orang awam, bahkan usaha normalisasi penipuan dilihat sedang berlaku di kalangan islamis pula. Menggunakan hadis-hadis keharusan menipu kerana darurat, ia dimanipulasi sehingga penipuan dianggap tidak ada salahnya di sisi Islam, selagi matlamatnya suci. Sedikit sebanyak simptom ini menunjukkan islamis turut disampuk post-truth.

Satu perkara lagi yang disebutkan oleh ayat ini mengenai sikap penentang agama adalah mengejek dan mempermainkan agama. Mereka tidak membawa wacana keagamaan ke pentas hujah ilmiah, sebaliknya memainkan sentimen-sentimen jahat seperti manipulasi emosi marah, simpati dan ketakutan di samping memotretkan kebenaran dengan wajah yang hodoh dan jelek seperti islamphobia, jumud dan rakus sehingga orang membenci Islam.

Firman Allah S.W.T:

قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لَا تَغْلُوا فِي دِينِكُمْ غَيْرَ الْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعُوا أَهْوَاءَ قَوْمٍ قَدْ ضَلُّوا مِن قَبْلُ وَأَضَلُّوا كَثِيرًا وَضَلُّوا عَن سَوَاءِ السَّبِيلِ

“Katakanlah: “Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam ugama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul””

[al-Maidah:77]

Juga firman Allah S.W.T:

وَمَا لَهُم بِهِ مِنْ عِلْمٍ ۖ إِن يَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ ۖ وَإِنَّ الظَّنَّ لَا يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا

“Sedang mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya. Mereka tidak lain hanyalah mengikut sangkaan semata-mata, padahal sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (iktiqad).”

[An-najm 28]

Walau bagaimanapun, selagi manusia berusaha mencari kebenaran dan tetap berada di jalan kebenaran, mereka akan sentiasa selamat daripada wabak post-truth. Jalan paling tepat adalah jalan menuntut ilmu dan meletakkan ilmu sebagai neraca pertimbangan dalam segala hal.

Allah S.W.T telah menjamin bahawa kebenaran akan tertegak jua. FirmanNya:

يُحِقَّ الْحَقَّ وَيُبْطِلَ الْبَاطِلَ وَلَوْ كَرِهَ الْمُجْرِمُونَ

“Supaya Allah menegakkan yang benar itu dan menghapuskan yang salah (kufur dan syirik), sekalipun golongan (kafir musyrik) yang berdosa itu tidak menyukainya.”

[Al-Anfal:8]

(ALANG IBN SHUKRIMUN) – HARAKAHDAILY 1/7/2019  

- Advertisement -