Proses peralihan kuasa PM kepada bakal PM

- Advertisement -
MUTAKHIR ini proses peralihan kuasa semakin galak dibicarakan. Menjelang dua tahun PH berkuasa, Perdana Menteri (PM) sekarang diminta membuka jalan mudah untuk digantikan oleh bakal Perdana Menteri ke-8, sebagaimana janji komponen PH pra PRU ke-14.
 
Perdana Menteri ke-7 pula, selalu menyatakan dua tahun terlalu pendek untuk membaiki kerosakan kerajaan yang lepas. Beliau perlukan lebih masa. Adakah 3 tahun? Berita daripada agensi asing itu juga dinafikannya. Masa peralihan kuasa itu tak dapat beliau tentukan lagi. Yang pasti peralihan kuasa akan tetap dilaksanakan, bila kena masanya.
 
Masalah ini menjadi lebih kompleks apabila bakal Perdana Menteri ke-8 bukanlah Timbalan Perdana Menteri (TPM) dalam kabinet sekarang. Bahkan beliau bukanlah seorang anggota kabinet yang terikat dengan sumpah kesetiaan memegang rahsia kerajaan. 
 
Sungguhpun begitu, bakal PM ke-8 memaklumkan kepada umum bahawa beliau sentiasa berbincang dengan PM ke-7. Tiada konflik. Beliau sentiasa diberikan taklimat tentang perjalanan kerajaan semasa dan juga tentang proses peralihan kuasa tersebut. 
 
Beliau secara peribadinya berpuas hati dengan pelan peralihan kuasa yang hanya dibincangkan berdua dengan Tun M. Setakat ini beliau selesa dengan gelaran ‘bakal PM.’
 
PM, TPM dan bakal PM
 
Daripada sudut birokrasi, jawatan TPM pada asasnya memang diwujudkan untuk menggantikan PM jika keadaan terdesak atau dalam situasi kecemasan. Walaupun PM, pada hakikatnya dalam banyak hal, boleh mewakilkan tugasnya kepada TPM, jika ada keperluan khas atau kepentingan segera mengikut perkiraan PM. 
 
Oleh itu TPM sentiasa dalam keadaan bersedia untuk mengambil alih tugas PM, jika diperlukan. Oleh itu juga, bakal PM biasanya ialah TPM itu sendiri. 
 
Kewujudan bakal PM selain TPM, dan dipersetujui oleh TPM adalah amat luar biasa. TPM sepatutnya setia kepada PM dan bukan kepada bakal PM yang bukan merupakan dirinya sendiri. Jika kesetiaannya kepada bakal PM, tentulah TPM tidak akan menjadi gandingan kuat kepada PM sebenar.
 
Mungkin PM perlukan TPM yang baru. 
 
PM tanpa TPM yang benar-benar boleh menjadi ‘orang kanan’nya, menjadikan kedudukan PM tidak kukuh. PM dengan TPM yang menjadi ‘tangan kanan’ kepada pihak lain pula, menjadikan kedudukan PM seperti telur di hujung tanduk.
 
Kewujudan bakal PM yang mendesak peralihanan kuasa secara dalaman di dalam PH setelah setahun berkuasa, setakat ini hanya meresahkan dan menyulitkan PM, TPM dan anggota kabinet yang lain.
 
Apakah wujud keperluan ketara tukar PM?
 
Setakat ini, tidak kelihatan wujudnya faktor keperluan ketara untuk menukar PM. Kerana bakal PM ke-8 juga daripada komponen PH. 
 
Mereka berkongsi visi dan misi yang sama sahaja. Banyak dasar-dasar baru kerajaan telah diputuskan dan dipersetujui bersama oleh mereka di dalam Majlis Presiden. Termasuklah keputusan untuk tidak menepati janji-janji manifesto mereka.
 
Tun M setakat ini berjaya mengemudikan Kerajaan PH walaupun mengharungi pelbagai kesukaran. Barisan kabinet yang sangat kurang matang, ekonomi negara yang mengundur ke belakang, hubungan antara kaum dan agama yang semakin menimbulkan keresahan, kenaikan kos sara hidup yang tidak kunjung padam dan banyak lagi.
 
Sebagai contoh ketara, Menteri Kewangan dalam kabinet PM ke-7 mengetuai satu kementerian yang sangat kritikal. Tetapi kita seolah-olah tidak nampak kelibat beliau dalam menangani masalah ekonomi dan kewangan negara. Kita hanya melihat kelibat beliau sebagai ahli politik ‘berminda pembangkang’ yang obses dengan isu 1MDB dan isu 1MDB semata-mata. Hasilnya, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.
 
Dengan mengambil kira latar belakang ini, walaupun kita bukanlah daripada lingkaran dalaman PH, keputusan-keputusan Tun M dalam mewujudkan kestabilan politik dan kesejahteraan awam di dalam negara amatlah kita hargai. Kepentingan negara mengatasi kepentingan politik kepartian dan politik balas dendam.
 
Beberapa inisiatif ekonomi dan pelaburan yang dibuat oleh Tun M dengan bantuan Tun Daim, dilihat mula memberikan sedikit kelegaan dan nafas baru kepada pelabur tempatan dan asing.
 
Apakah cuba dicapai oleh peralihan kuasa?
 
PM ke-8, jika mengambil alih kuasa daripada PM ke-7, beliau hanya akan berupaya setakat mengekalkan prestasi Tun M sahaja. Peningkatan prestasi lebih daripada itu adalah hampir mustahil.
 
Kerana itulah prestasi terbaik yang mampu dicapai oleh oleh mana-mana PM daripada pakatan politik seperti PH. Pakatan yang semakin longgar,  kepentingan setiap komponen yang saling berlawanan dan kualiti menteri-menteri yang semakin menjunam. Tun M telah meletakkan ‘benchmark’ yang tinggi sebagai PM bagi Kerajaan PH.
 
Jika begitu, apa gunanya menukar PM? Baik kekalkan yang sedia ada. Kerana yang ada adalah yang terbaik yang kita boleh harapkan.
 
Lebih teruk, jika bakal PM ke-8 nanti akan hanya mencetuskan konflik dalaman pada tahap baru yang lebih parah dalam Kerajaan PH. Kerana pertukaran ‘dinasti’ baru tidak akan dialu-alukan oleh ‘dinasti’ lama yang bakal kehilangan pengaruh dan kehilangan banyak lagi. Negara akan berada dalam keadaan semakin runcing dengan konflik berterusan.
 
Jika begitu, peralihan kuasa hanya membawa mudarat.
 
Bila peralihan kuasa akan dialu-alukan?
 
Namun begitu bakal PM ke-8 akan dialu-alukan ke puncak kuasa, jika beliau sanggup melunaskan janji-janji PH terutamanya janji-janji yang ditaburkan dalam manifesto PH ketika PRU ke-14 baru-baru ini.
 
Antaranya, janji berkaitan tol, PTPTN, harga minyak, kos sara hidup, peluang pekerjaan, royalti, pemulihan ekonomi, pentadbiran yang telus, keluhuran undang-undang, menolak kleptokrasi dan menghormati perlembagaan.
 
Begitu juga jika bakal PM ke-8 boleh memberikan komitmen untuk menukarkan beberapa orang menteri, terutamanya Menteri Kewangan, Menteri ‘buluh’ dan Menteri ‘gajah’ kepada golongan teknokrat atau YB-YB yang lebih berwibawa dan berjiwa besar yang sanggup bekerja kuat, berkhidmat untuk negara.
 
Jika itulah makna peralihan kuasa, rakyat wajar memberikan peluang kepada DS Anwar. Tambahan lagi DS Anwar pernah menawarkan penyelesaian harga minyak pada kadar RM 1.50 sen.
 
Insiden video hanyir
 
Insiden video ‘hanyir’ yang disebarkan oleh pihak tertentu baru-baru ini dilihat oleh ramai pengkaji politik sebagai usaha tindak balas terdesak pihak tertentu untuk menghalang PM ke-7 daripada mengangkat ‘mangsa’ video itu sebagai ‘orang kanan’nya di dalam kabinet. Langkah itu, jika diteruskan mampu melumpuhkan sebarang plot untuk memaksa Tun M berundur tanpa kerelaannya. 
 
Video itu disebarkan setelah kedudukan Tun M dilihat menjadi semakin kukuh dengan perlantikan KP SPRM yang baru, baru-baru ini. Di mana perlantikan itu menerima bantahan keras daripada rakan- rakan Tun M dalam PH.
 
Malang bagi bakal PM ke-8, beliau dilihat sebagai satu-satunya pihak yang paling mendapat ‘keuntungan’ daripada insiden video tersebut. Walaupun beliaulah yang paling keras menolak strategi politik sekotor itu dan paling tidak ada kaitan dengan keseluruhan episod itu. 
 
Nampaknya, ada pihak yang ‘terlampau’ dalam mengambil inisiatif sendiri.
 
Meskipun ramai yang menolak pendekatan politik jijik seperti itu, namun ia sedikit sebanyak menyebabkan Tun M terpaksa berundur ke belakang selangkah dua. Serangan seperti itu, memang di luar jangkaan Tun M.
 
PKR pun tak sanggup bertegas seperti YB Zuraida dalam menangani insiden tersebut.
 
Penutup
 
Adakah Tun M akan benar-benar bersara dan menyerahkan Kerajaan untuk ditadbir oleh DS Anwar pula dengan begitu saja? Seperti Tun Abdullah berundur, menyerahkan jawatan PM kepada DS Najib? 
 
Nampaknya laluan tidak semudah itu. Tun M dan DS Anwar. Jika bertembung, tidak ada yang mudah dalam pertembungan mereka. Setakat ini, pertembungan dinafikan oleh kedua-dua belah pihak, walaupun masing-masing telah dilihat saling mengatur langkah.
 
‘Rumput’ sekali lagi akan menjadi mangsa  ‘gajah-gajah’ yang berentap.
 
Menarik juga untuk difikirkan, iaitu jika peralihan kuasa ini akhirnya berjaya direalisasikan, Kerajaan Malaysia nanti akan ber-PM dan ber-TPM-kan sepasang suami isteri.
 
Sejarah sedang dalam pembikinan.
 
ZAKARIA ISMAIL
Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Marang
28 Jun 2019 – HARAKAHDAILY 28/6/2019
- Advertisement -