Chikungunya: Jaga kebersihan sekitar

- Advertisement -

PENDANG: Orang ramai dinasihatkan agar menjaga kebersihan persekitaran untuk mengelak chikungunya penyakit bawaan vektor nyamuk aedes daripada terus merebak.

- Advertisement -

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman berkata, vektor pembawa virus penyakit berkenaan sama juga seperti denggi dan zika.

“Walaupun chikungunya tidak semerbahaya denggi dan denggi berdarah namun kesannya mengganggu kehidupan terutama produktiviti pesakit tersebut,” maklum beliau.

Menurut Adun Tokai itu lagi, gejala seperti demam, sakit sendi yang agak kuat akan menyebabkan gangguan pergerakan selain pesakit berpotensi dijangkiti ruam namun chikungunya tidak menyebabkan pendarahan.

Ekoran sudah terdapat 23 kes individu yang telah disyaki mengidap chikungunya di Alor Setar, beliau menasihatkan orang ramai agar segera berjumpa doktor seandainya mengalami demam dan sakit sendi yang kuat seumpama itu.

“Walaupun chigungunya tidak menyebabkan pendarahan seperti demam denggi yang berpontensi diserang dengue shock syndrome yang boleh menyebabkan kematian namun punca penyakit itu adalah dari nyamuk aedes yang membiak di persekitaran air bertakung yang jernih.

“Oleh itu orang ramai diminta agar menjaga kebersihan agar pembiakan nyamuk aedes dapat dimusnahkan dan masukkan pembunuh jentik jentik seperti abate yang boleh diperolehi di farmasi atau kedai ubat ,” jelasnya lagi.

Sehubungan itu katanya, walaupun demam boleh hilang dalam tempoh seminggu tetapi gejala sakit sendi boleh berlarutan hingga berbulan.

Justeru itu rawatannya adalah symptomatik seperti ubat demam dan sakit sendi tetapi elakkan mengambil ubat jenis aspirin dan ubat-ubatan kategori NSAID sehingga disahkan ianya bukan penyakit denggi.

“Banyakkan minum air untuk mengelakkan dehidrasi, banyakkan berehat terutama sekiranya mengalami masalah sendi yang teruk,” katanya lagi.

Beliau mengharapkan agar kes chikungunya yang berlaku di Alor Setar sekarang ini cepat dicegah dan segala usaha menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes mendapat kerjasama yang baik daripada penduduk. – HARAKAHDAILY 27/6/2019

- Advertisement -