Muktamar yang tenang

- Advertisement -

“DAN hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru kepada kebajikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang mungkar; dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya” (Maksud Surah Ali Imran: 104)

- Advertisement -

Jika ada suatu ungkapan untuk menggambarkan perjalanan Muktamar Tahunan PAS ke-65 pada tahun ini, pastinya ramai akan berkata, “muktamar kali ini sangat tenang”.

Muktamar PAS bagi tahun 2019 ini menyaksikan kehadiran tetamu termasuklah Umno, kedutaan luar, NGO dan pengamal media yang paling ramai dalam sejarah penganjuran muktamar, menunjukkan minat yang tinggi dan tanda kebersamaan terhadap prinsip perjuangan.

Muktamar kali ini juga menyaksikan agenda perbahasan dan pemilihan jawatan tertinggi parti berlangsung dengan aman. Tiada kerusi yang melayang, tiada pergaduhan, tiada perebutan jawatan, dan tiada perwakilan yang merayu untuk diberikan kontrak kerajaan, berbeza dengan persidangan parti komponen Pakatan Harapan.

Pihak media pula diberikan kebebasan untuk mengikuti dan melaporkan perjalanan muktamar secara penuh, tidak seperti persidangan DAP yang hanya membenarkan media membuat liputan pada sesi perasmian, membuktikan keterbukaan dan ketelusan PAS berbanding Pakatan Harapan.

Malah ketika ditohmah PAS ketandusan pemimpin, para perwakilan telah memilih saf kepimpinan tertinggi parti yang mewakili setiap segmen dan segenap wajah, untuk terus berkhidmat dan bekerja secara berkumpulan.

Suasana ini digambarkan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika ditanya wartawan, mengapa banyak jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan. Secara berseloroh beliau menjawab: “Itu tanda ketenangan dalam PAS, bukti PAS tidak bergolak, dan tidak ada aktiviti ‘video’ dalam PAS”.

Di pihak kawan khususnya Ikatan, Berjasa, Umno dan NGO-NGO Islam, ramai yang menantikan pendirian PAS dan hala tuju muafakat politik umat Islam yang sedang terjalin bagi menghadapi hegemoni Malaysia Baharu yang penuh cabaran.

Muktamar yang pada awalnya dijangka hangat menyaksikan kematangan dan ketenangan para perwakilan berbahas untuk menyatakan pandangan, membangkitkan kebimbangan, dan menggariskan batas sempadan untuk perhatian pucuk pimpinan.

Dengan tema ‘Islam Memimpin Perpaduan’, Presiden PAS telah menyatakan komitmen PAS untuk memilih pendekatan damai dalam berpolitik, dan terbuka untuk menjalin muafakat politik dengan semua pihak di atas lima prinsip, iaitu:

1. Kerjasama yang menguntungkan Islam, negara dan bangsa;
2. Kerjasama yang mendahulukan perpaduan di kalangan umat Islam;
3. Kerjasama yang mempertahankan perpaduan dalam masyarakat majmuk;
4. Kerjasama yang menunjukkan nilai akhlak dan integriti yang tinggi;
5. Kerjasama yang saling menghormati, saling membantu dan tidak memusuhi.

Ternyata PAS berjaya mengemukakan suatu gagasan politik baharu yang tenang dan menenangkan.

Gunung Tahan sama didaki,
Sungai Pahang sama direnang;
Jikalau kita bersatu hati,
Jiwa yang gundah menjadi tenang.

#IslamMemimpinPerpaduan

SYAHIR SULAIMAN
25 Jun 2019 – HARAKAHDAILY 25/6/2019

- Advertisement -