SAYA ingin merujuk kepada siaran media Menteri Kewangan bertarikh 22 Jun 2019 mengenai pengambilalihan lebuh raya bertol. Berdasarkan kenyataan tersebut, Kerajaan Persekutuan telah berunding dan menawarkan sejumlah RM6.2 bilion untuk mengambil alih empat lebuh raya di bawah kepentingan GAMUDA iaitu LDP, SPRINT, KESAS dan Terowong SMART.
Namun begitu, jalan solusi yang ditawarkan tidak menguntungkan rakyat. Sekiranya pengambil alihan ini berjaya, Kerajaan Persekutuan tidak lagi terbeban untuk membayar pampasan, manakala pihak GAMUDA akan memperoleh sejumlah wang yang lumayan hasil daripada penjualan aset tersebut. Bagaimana pula nasih rakyat?
Rakyat akan terus diperas dengan kadar maksimum caj kesesakan yang pasti akan dikenakan pada waktu puncak untuk menampung khidmat hutang (bon), kos operasi dan penyelenggaraan empat lebuh raya tersebut. Sampai bila rakyat akan terus membayar caj dan bayaran tol tersebut? Mengapa akhirnya beban kewangan ini dipikul oleh rakyat?
Hal ini jelas bercanggah dengan janji Pakatan Harapan untuk menghapuskan tol selepas memenangi Pilihan Raya Umum yang lalu. Cadangan pengambil alihan ini tidak menguntungkan rakyat sebaliknya menyelamatkan pihak konsesi yang telah mengaut keuntungan selama ini.
“Islam Memimpin Perpaduan”
HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
25 Jun 2019/ 21 Syawal 1440 – HARAKAHDAILY 25/6/2019