Muslimat PAS Sabah rai raya bersama OKU buta

SANDAKAN: Muslimat PAS Negeri Sabah dengan kerjasama Muslimat PAS Kawasan Libaran telah menganjurkan program Seindah Syawal bersama orang-orang buta di Kompleks Penyayang Taman Cahaya, Pusat Latihan Orang Buta di Batu 12, di sini kelmarin.
 
Program yang dianjurkan ini bertujuan bagi menyantuni golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dengan lebih dekat dan secara tidak langsung dapat meluaskan hubungan dengan mereka.
 
Ketibaan Muslimat PAS telah disambut meriah dengan pelbagai persembahan daripada golongan OKU dan mereka diraikan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan menganyam ketupat dan pakai kain pelikat.
 
Menurut Ketua Penguasa Kompleks Taman Penyayang Taman Cahaya, Ibrahim Abdul Hamid, pusat latihan ini telah ditubuhkan sejak tahun 1969  dan bangunan kompleks secara rasminya digunakan pada tahun 2010.  
 
Beliau turut memaklumkan bahawa dana Kompleks ini diperolehi daripada dana sendiri, orang awam serta kerajaan negeri yang memberikan dana setahun sekali bagi menampung perbelanjaan sepenuhnya setiap golongan OKU ini di sini.
 
Turut hadir dalam program ini adalah Ketua Muslimat PAS Negeri Sabah, Norsah Bongsu, Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Muslimat PAS Sabah, Nur Izzati Yusuf.
 
Norsah Bongsu dalam ucapannya berharap dapat bekerjasama dalam pelbagai program akan datang seperti kelas mengaji di Pusat Latihan Orang Buta tersebut. – HARAKAHDAILY 24/6/2019
IMG 20190624 WA0030
 
IMG 20190624 WA0029
 
IMG 20190624 WA0028