Tidak boleh rasmi mesyuarat Umno

- Advertisement -

KUANTAN: Pemimpin dan ahli PAS tidak boleh terlibat merasmikan mesyuarat agung parti lain kerana ia dibimbangi boleh mengelirukan ahli dan penyokong di bawah.

- Advertisement -

Timbalan Presiden PAS Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, misalnya jemputan merasmikan mesyuarat agung Umno tidak boleh dilakukan pemimpin PAS.

“Kita juga tidak boleh bekerja untuk pihak lain takut ia boleh mengelirukan ahli dan penyokong di bawah,” katanya ketika menggulung ucapan dasar presiden pada akhir Muktamar Tahunan PAS Ke-65 yang bertema ‘Islam Memimpin Perpaduan’ di Stadium Tertutup SUKPA Kuantan, di sini hari ini.

Menurutnya juga dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Induk Taawun PAS-Umno diadakan persefahaman satu lawan satu pada Pilihan Raya Kecil (PRK).

Selain itu parti yang bertanding pada PRK berasaskan parti yang bertanding pada PRU sebelum ini.

Kata beliau juga Jawatankuasa Teknikal PAS yang merangka kerjasama dengan Umno bagi pihak PAS diketuai Ustaz Idris Ahmad dan dianggotai empat lagi ahli.

“Kita dalam PAS tidak bimbang kerana dasar parti dipandukan oleh Majlis Syura Ulama. Malah garis panduan sempadan antara satu sama sudah dibincang majlis syura berasaskan kepada 4 perkara tersebut,” ujarnya.

Boleh anjur program bersama Umno

Empat garis panduan digariskan kepimpinan PAS yang perlu dipatuhi setiap ahli dalam menjalinkan permuafakatan antara PAS dan Umno.

Katanya, perkara pertama segala polisi kerjasama antara PAS dan Umno hanya dapat dibuat setelah mendapat persetujuan dari ahli jawatan kuasa (AJK) PAS Pusat dan Majlis Syura Ulamak.

Keduanya, setiap negeri, kawasan dan cawangan dibenarkan untuk mengadakan program bersama dengan Umno dengan fokus utama untuk penyatuan ummah atas dasar untuk memperkasakan Islam.

“Seterusnya setiap ahli parti mestilah saling hormat menghormati setiap dasar parti masing-masing dan tidak terlibat dengan program dalam parti lain.

“Dan yang terakhir, pimpinan dan ahli dibenarkan membuat pengisian ataupun tazkirah kepada ahli parti kerjasama yang lain bila mana diminta mereka,” katanya.

Selain itu, beliau turut memaklumkan mengenai dua lapis carta organisasi dalam muafakat politik bersama Umno. – HARAKAHDAILY 23/6/2019

- Advertisement -