Garis panduan muafakat PAS-Umno dibentangkan

- Advertisement -

KUANTAN: PAS merupakan parti terbuka, namun sejak dahulu ia mengalami sunnatullah sama sepertimana para Nabi dan Rasul yang terpaksa berhadapan dengan musuh.

- Advertisement -

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan diputuskan PAS bukan kerana mencari popular politik, tetapi yang menepati syarak.

Iaitu jelasnya, tindakan yang menguntungkan perjuangan Islam sebagaimana Nabi S.A.W boleh membuat keputusan sendiri, tetapi sering memilih mengadakan mesyuarat dan perbincangan.

Perkara tersebut dinyatakan beliau ketika sesi penggulungan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-65 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (SUKPA), Bandar Indera Mahkota, di sini hari ini.

Menerangkan mengenai muafakat politik, PAS katanya, membuat keputusan untuk mewujudkan dua lapis carta organisasi dengan pertama terdiri dari 11 wakil PAS dalam Jawatankuasa Induk.

“Umno juga ada 11 orang. Kita baru ada mesyuarat sekali Jawatankuasa Induk. Mesyuarat Pertama kita bentuk satu persefahaman dalam tiga perkara. Pertama, mana-mana PRK sehingga PRU15; ‘satu lawan satu’ dengan PH.

“Tempat yang PAS bertanding, kekal PAS, Umno bantu. Di tempat Umno bertanding sebelum ini, kekal Umno dan PAS bantu. Hasilnya, kita lihat capai satu perubahan,” jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Kedua bentangnya, PAS bersetuju di mana-mana isu melibatkan kepentingan Islam dan umatnya, mesti gembleng kekuatan yang menzahirkan muafakat politik dalam menghadapi ancaman.

Manakala ketiga ujarnya, penyelarasan peringkat Parlimen melibatkan perbahasan isu-isu hingga bila ada Ahli Parlimen dihalau atau digantung keluar, maka PAS-Umno saling bersolidariti.

Jawatankuasa Teknikal

Disamping itu, antara kedua pihak juga mempunyai Jawatankuasa Teknikal dengan masing-masing punya lima anggota yang akan merangka dan mengangkat cadangan ke Induk.

“Kita dalam PAS tidak bimbang. Kerana apa-apa sahaja dasar parti kita dipandu Majlis Syura Ulamak (MSU). Majlis Syura memandu kita supaya parti berjalan tidak bercanggah dengan syarak.

“Ramai perwakilan timbulkan soal garis panduan dalam muafakat politik supaya masing-masing mengetahui batas sempadan antara satu sama lain. Garis panduan ini telah pun dibincangkan.

“Majlis Syura akan perincikan perkara yang berbangkit disusuli suatu kenyataan dan arahan rasmi daripada Pejabat Agung, insyaAllah,” jelas beliau.

Menjelaskan garis panduan tersebut katanya, segala polisi dan dasar kerjasama hanya boleh diputuskan oleh Jawatankuasa Induk setelah mendapat perkenan PAS Pusat dan MSU.

Pertama menurutnya, melibatkan soal pembahagian kerusi, manakala kedua; boleh melaksanakan program yang fokus bersamanya penyatuan ummah memperkasa agenda Islam.

Ketiga maklum beliau, kerjasama dengan saling menghormati dasar parti, di mana ahli parti tidak dibenarkan terlibat dalam program dalaman parti lain seperti menjadi perasmi Mesyuarat Agung.

Keempat pula katanya, pimpinan dan ahli dibenarkan menghadiri dan membuat pengisian seperti ceramah, panel forum, pembentang kertas kerja, tazkirah kepada parti rakan kerjasama. – HARAKAHDAILY 23/6/2019

- Advertisement -