Tema muktamar asas kukuh gagasan kesatuan

- Advertisement -

KUANTAN: Tema ‘Islam Memimpin Perpaduan’ sempena Muktamar Tahunan PAS ke-65 tahun ini merupakan asas kukuh kepada gagasan kesatuan selain kesinambungan kepada tema tahun lalu iaitu Islam Memimpin.

- Advertisement -

Berucap dalam perbahasan Ucapan Dasar Presiden, perwakilan Kedah, Ustaz Ahmad Yahya, berkata tema yang dipilih pada tahun ini jelas membuktikan bahawa PAS bersungguh-sungguh dan serius meneruskan agenda perpaduan untuk kesatuan ummah, nasional dan seterusnya perubahan lanskap pentadbiran negeri mahupun negara.

“Jumlah umat Islam yang ramai tidak akan bermakna andainya kuasa politik, ekonomi, undang-undang serta lain-lainnya dikuasai penjajah dan tidak mustahil minoriti menguasai majoriti yang akhirnya meletakkan batang tengkuk orang Islam di tangan bukan Islam.

“Jangan sehingga ular lidi berjaya menelan ular sawa kerana ular sawa berjaya dirincik-rincik halus dan sudah hilang taringnya,” ujar beliau sambil mengimbas kembali perumpamaan yang pernah disebut oleh Almarhum Ustaz Fadzil Noor.

Katanya, penyatuan ummah yang meletakkan Islam sebagai tonggak kepimpinan bukan sahaja mampu menyatukan manusia yang berpecah malah kesatuan kiblat, qudwah, aqidah dan seruan berjaya membuktikan kecemerlangan di mana fahaman-fahaman yang dibawa oleh kapitalis, nasionalis dan komunis ternyata gagal membawa kesejahtera kepada ummat manusia.

Justeru itu katanya lagi, kemenangan blok Pakatan Harapan pada PRU lalu telah berjaya mengenalkan rakyat kepada sikap dan hala tuju pakatan tersebut. Dengan DAP ternyata berjaya mendominasi kepimpinan sehingga berlakunya perpecahan di kalangan parti sekutunya dan lebih jelas lagi kepentingan Islam dipertikai.

“Kemenangan Pakatan Harapan juga secara tidak langsung berlakunya kerjasama antara PAS, Umno dan NGO di mana sebelum ini tidak pernah terfikir perkara sebegitu akan berlaku,” ujarnya lagi.– HARAKAHDAILY 22/6/2019

- Advertisement -