Piagam PAS-Umno yang bakal dibimbangi PH

MUKTAMAR Tahunan PAS Ke-65 banyak memfokuskan perbincangan seputar taawun bersama rakan-rakan pembangkang khususnya Umno, MIC, MCA selain tahaluf sedia ada yang telah terbentuk sebelum PRU14 lalu bersama Ikatan PCM dan NGO.
 
Kerjasama sama ada dalam maksud tahaluf mahupun taawun, secara dekat mahupun dalam perihal berkepentingan sama ianya adalah demi melihat pembangkang yang kuat mampu mendepani kebebalan Kerajaan PH yang didominasi DAP.
 
Melihat kepada intipati ucapan dasar Presiden PAS dan kemudiannya dibahaskan secara mendalam oleh perwakilan, maka kebimbangan terhadap usaha mendekati Umno dalam ertikata bekerjasama lebih serius amat mendapat sokongan jitu perwakilan.
 
Walaupun bising dan gegak gempita PAS dihentam kiri dan kanan, atas dan bawah oleh DAP, PAN mahupun PKR versi Anwar Ibrahim, namun ahli sudah menghadamkan agenda penyatuan ummah ini kepada satu bentuk pelan tindakan lebih jitu sifatnya.
 
Ahli PAS yang sangat dikenali dengan sifat wala atau taat dan patuh, bukan meletakkan agenda itu semata-mata secara semberono, ahli di peringkat bawah dan pertengahan telahpun menghadamkan hasrat penyatuan ummah ini atas asas Demi Islam.
 
Melihat kepada Umno dan parti komponennya semakin lunak, maka gerak kerja di bawah ini sebenarnya telahpun mendekati ahli-ahli Umno mahupun komponen BN yang lain. Kemesraan dan gerak kerja bersama telah berjalan, dan muktakhir ini ianya semacam satu gerakan bersekretariat walaupun ia bukan rasmi.
 
Lihat sahaja kerjasama dalam beberapa pilihan raya kecil khasnya semasa Pemangku Presiden Umno, Dato Seri Mohamad Hassan bertanding iaitu di Rembau, kerjasama yang berjalan boleh dikatakan seperti satu pasukan yang lengkap sifatnya.
 
Impian yang semakin menjadi realiti ini boleh dilihat terjemahannya secara kolektif dan lebih segar semasa hari perasmian Muktamar Tahunan PAS ke 65, kehadiran pemimpin Umno dan komponen selain rakan tahaluf PAS iaitu IKATAN dan PCM amat erat sifatnya.
 
Malah apabila nama pemimpin rakan disebut, perwakilan memberi respon dan takbir yang sangat bersemangat.
 
Di luar sana, ramai dalam kalangan rakyat tidak kira golongan biasa mahupun elit mula membicarakan mengenai kerjasama politik yang seharusnya lebih erat termasuk bilamana soal Piagam Muafakat Politik yang disebutkan bakal dituntaskan untuk mendepani PRU15 agar kerjasama ini boleh menumbangkan gabungan aparat PH.
 
Apa pun, kelestarian Piagam Muafakat Politik seperti disebut perwakilan Johor, Mohd Aljauhari Mohd Yusof bahawa biarlah piagam ini nanti dimeterai secara sempurna. Piagam haruslah selari malah sifatnya biarlah memenuhi ciri Piagam Madinah yang diperingatkan Presiden PAS dalam ucapan dasarnya.
 
Sepanjang muktamar berlangsung, kita juga acap kali mendengar kritikan jahat PH yang dilihat terkesan dengan pendekatan PAS yang terus komited mereaslisasikan kerjasama dengan Umno khasnya.
 
Kegelisahan ini menghasilkan kerisauan yang teramat sangat apabila hentaman tidak rasional, beremosi menyelubungi mereka. Adapun semalam apabila isu dana RM90 juta disahkan tidak terkait dengan PAS maka, senyap dan terkedu malah membisu sementara PH.
 
Adapun selepas ini mereka akan merapu kembali, pastinya Pesuruhjaya SPRM yang baharu, Latheefa Koya akan diserang seacapnya dalam isu tersebut. Apatah lagi segala fitnah yang dilempar kepada PAS sebelum ini berbaik dengan Umno kerana RM90 juta telah terhapus. Maka isu kerjasama PAS akan terus dijadikan senjata, bukan lagi berdasar isu RM90 juta, tetapi fitnah lain yang akan direkayasa. – HARAKAHDAILY 22/6/2019