PH bersiap untuk menang PRU15, bagaimana PAS?

- Advertisement -
KUANTAN: Seluruh ahli dan pimpinan serta jentera PAS diingatkan supaya tidak lalai dan terbuai dengan sikap mengambil jalan mudah mengatakan pemerintahan PH hari ini sebagai kerajaan sepenggal.
 
Perwakilan PAS Negeri Kelantan, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, seluruh organisasi PAS mesti mengatur persiapan bagi menghadapi PRU15 yang boleh berlangsung bila-bila masa agar tidak terperangkap.
 
Nasihat itu dikemukakannya ketika membahas Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan PAS Ke-65 yang diadakan di Kompleks Sukan Pahang (SUKPA), Bandar Indera Mahkota, di sini hari ini.
 
Serunya, semua perlu bekerja keras dan tidak merasa selesa dengan kedudukan kerana mengambil kira Kerajaan PH gagal menunaikan janji pilihan raya yang begitu banyak mereka mungkiri.
 
Beliau mahu seluruh anggota PAS membayangkan seandainya PH menunaikan segala janji manifesto mereka, lalu setelah itu mengisytiharkan pembubaran Parlimen untuk mengadakan pilihan raya.
 
Dato’ Che Abdullah turut mengemukakan kemungkinan rancangan tindakan PH untuk melakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya sekiranya memiliki majoriti dua pertiga di Parlimen.
 
Jelasnya, dengan penguasaan beberapa bidang dan kedudukan, persempadanan semula lalu yang dibatalkan pengesahannya membolehkan PH membelah kawasan menambah kerusi-kerusi untuk dimenangi.
 
“Kalau mereka boleh reka cerita yang dipercayai rakyat Malaysia, mempengaruhi untuk menang PRU dengan fitnah, apakah mereka tidak boleh buat fitnah lebih besar sebelum PRU akan datang?
 
“Apabila mereka mendapat bantuan luar negara menyokong beri kemenangan mereka pada PRU lalu, apakah mereka tidak akan dapatkan bantuan luar untuk menang PRU akan datang?
 
“Mereka cukup sedar bagi mempertahankan kemenangan lebih payah dari mencarinya. Sudah tentu mereka tidak akan lalai melaksana segala kerja pertahan kerajaan mereka,” ujarnya menyuntik kesiagaan. – HARAKAHDAILY 22/6/2019
- Advertisement -