Muktamar lulus usul pindaan Perlembagaan PAS

taki
- Advertisement -

KUANTAN: Satu lagi sejarah dicatat apabila Muktamar Tahunan PAS kali ke-65 meluluskan usul cadangan pindaan Perlembagaan PAS 2019 apabila mendapat sokongan penuh perwakilan.

- Advertisement -

Usul mengenai perkara itu dibentang Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan dibahas enam perwakilan termasuk wakil PAS Tawau, PAS Jelebu, Ustaz Nazri Chik mewakili Dewan Ulamak PAS Pusat, PAS Segambut, Ustaz Ahmad Fadhli Abdul Ghani mewakili PAS Damansara dan Husaini Husin wakil Dewan Ulama PAS Negeri Sembilan.

Usul pindaan itu setebal 18 muka surat mencakupi 26 perkara termasuk Fasal 11 mengenai syarat menjadi ahli, Fasal 14 – sijil ahli dan paling menarik perhatian perwakilan Fasal 28 mengenai Ahli-ahli jawatankuasa PAS kawasan.

Fasal 28 A (d) pindaan Ketua Urusan Ulama kepada Ketua Dewan Ulamak. Turut dijelaskan pelantikan Ketua Dewan Ulamak hendaklah dibuat melalui mesyuarat agung sebelum mesyuarat agung PAS kawasan sama seperti Ketua Dewan Muslimat dan Dewan Pemuda.

Perwakilan PAS Tawau mencadangkan supaya pindaan perlembagaan parti hendaklah dibuat menggunakan ejaan rasmi Dewan Bahasa dan Pustaka.

Bagaimanapun wakil PAS Jelebu melahirkan rasa bimbang untuk mencari ahli Dewan Ulamak PAS kawasan seramai 25 orang agak sukar bagi sesetengah kawasan.

Menjelaskan isu tersebut Ustaz Nazri berkata, keputusan untuk mewujudkan Dewan Ulamak kawasan sudah lama dibincangkan dan telah dipersetujui Muktamar Dewan Ulamak.

Malah Takiyuddin memberitahu perlembagaan parti mengenai perkara itu dipinda untuk membolehkan Dewan Ulamak kawasan ditubuhkan di peringkat PAS kawasan.

“Sekarang terdapat 197 kawasan PAS di seluruh negara dan tidak semesti kesemuanya perlu ditubuhkan Dewan Ulamak kawasan dan ia bergantung kepada kemampuan PAS kawasan terbabit.

“Sama juga dengan Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat ada yang belum lagi diwujudkan daripada 197 PAS kawasan di seluruh negara sekarang,” ujarnya.

Pindaan itu akhirnya diluluskan apabila Pengerusi Tetap Husin Ismail meminta sokongan perwakilan dengan bangun sebagai menyatakan sokongan terhadap usul tersebut.

Kesemua perwakilan bangun bagi menyokong pindaan tersebut. – HARAKAHDAILY 22/6/2019

- Advertisement -