MP PAS diminta terus perjuang isu Sabah Sarawak

KUANTAN: Ahli-ahli Parlimen PAS diminta untuk menyuarakan isu-isu berkaitan peningkatan taraf hidup rakyat Sabah dan Sarawak, demikian seru Perwakilan PAS Negeri Sarawak, Mohamad Syahidullah Ahmad Anuar.
 
Beliau berkata demikian ketika tampil membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-65 di Kompleks Sukan Negeri Pahang (SUKPA), Bandar Indera Mahkota, di sini sebentar tadi.
 
Khususnya ujar beliau, untuk menggesa Kerajaan Persekutuan memperkasakan peluang-peluang Industri Kecil Sederhana (IKS), selain juga terhadap bidang pertanian dan makanan untuk peribumi di sana.
 
Selain itu pintanya, suara untuk mempertingkatkan kemudahan dan fasiliti institusi-institusi pendidikan peringkat kemahiran untuk dibekalkan kepada generasi muda juga mesti diajukan.
 
Beliau turut berharap agar Ahli-ahli Parlimen PAS bersama dalam memperkukuhkan komitmen terhadap Perjanjian Malaysia 1963 dalam kerangka dan semangat Persekutuan.
 
“Bukan lagi konsep Federal sebagai ‘tuan’ yang menentukan segala-galanya untuk negeri. Pelihara hak setiap negeri menurut Perlembagaan Persekutuan, bukan berdasar idealogi politik.
 
“Jangan lagi jadikan Sabah dan Sarawak ini sebagai ‘deposit tetap’ kepada yang menjadi ‘tuan’ di Federal,” tegur beliau menarik perhatian kira-kira 2,000 perwakilan dan pemerhati.
 
Beliau mahu supaya Ahli-ahli Parlimen PAS komited menghapuskan jurang perbezaan antara rakyat dengan menyeimbangkan ekonomi antara Malaysia Barat dan Timur secara seiring.
 
Hal itu ujarnya, termasuklah kawalan harga barang domestik yang secara langsung menjadikan kos sara hidup rakyat di Malaysia Timur terlalu tinggi dengan pendapatan penengah meningkat 326 peratus. – HARAKAHDAILY 22/6/2019