Islam dibawa selesai masalah negara dan dunia

- Advertisement -
KUANTAN: PAS Negeri Sabah yakin, segala permasalahan yang berlaku dapat diselesaikan sekiranya Islam menjadi dasar kepada pemerintahan negara.
 
Perwakilan PAS Sabah, Ramli Pataruddin menggariskan masalah keselamatan, hubungan pelbagai lapisan etnik dan budaya, jurang perbezaan dari negeri Semenanjung.
 
Juga isu royalti minyak, kewarganegaraan dan banyak lagi yang tidak bernoktah di bawah kepimpinan pemerintahan selama ini, selain turut berdepan anasir luar.
 
Luahan tersebut disuarakannya ketika membahas Ucapan Dasar Presiden dalam Muktamar Tahunan PAS Ke-65 di Kompleks Sukan Pahang (SUKPA), Bandar Indera Mahkota, di sini.
 
“Slogan “Sabah Untuk Sabah” sebagai contoh; sememangnya menjurus kepada perpisahan, pengasingan Sabah daripada Persekutuan (Malaysia) dan menuju kepada budaya fanatik assabiyah yang sempit,” ujarnya.
 
Sehubungan itu serunya, PAS mesti menjuarai hati dengan “Islam Memimpin Perpaduan” dengan mempelopori dan melipatgandakan usaha penyatuan ummah sebagaimana telah dilakukan menerusi pelbagai himpunan.
 
Untuk itu juga katanya, PAS mesti menjadi ‘role  model’ terbaik sebagai pemerintah Islam apabila menerajui kerajaan negeri mahupun Persekutuan kelak dan menjamin tidak berulang peristiwa seperti 13 Mei 1969.
 
“Jangan! Jangan sesekali menyuntik sentimen perkauman yang sempit sebagaimana peristiwa lampau. Kedengaran desas desus di sana sini golongan yang memporakperanda, mempromosi, menentang dan memprotes.
 
“(Terhadap) kelangsungam ajaran dan juga didikan al-Quran dan Sunnah di bumi Malaysia. Puak-puak ini adalah petualang yang perlu ditangani dan dihapus dengan konsep “Islam Memimpin Perpaduan”,” serunya.
 
Menurutnya, PAS juga berperanan menghadapi krisis dan konflik amat meruncing dan merencam yang sentiasa mahu memomokkan sentimen agama secara kronik dan kritikal menerusi pelbagai idealogi.
 
Tegas beliau, perkara yang boleh membawa kepada perpecahan tersebut mesti dibendung, selain PAS terus berperanan dalam diplomasi di pentas antarabangsa dan menjadi agen penyatuan umat sejagat.
 
Yakininya, peranan PAS di peringkat global berpotensi menjamin kelangsungan survival umat, sekali gus menangani fenomena Islamofobia, jihadfobia dan pelbagai gejala serta tuduhan yang dikaitkan kepada Islam. – HARAKAHDAILY 22/6/2019
- Advertisement -