Tiada politik balas dendam – Tuan Guru

- Advertisement -

KUANTAN: Melihat kepada situasi politik yang menjadikan rakyat biasa mangsa kepada peralihan kerajaan, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyatakan bahawa PAS beriltizam untuk tidak menzalimi atau membalas dendam sekiranya berlaku peralihan kuasa di peringkat negeri mahupun persekutuan.

- Advertisement -

Beliau juga turut menyatakan komitmen besar PAS dalam mengiktiraf kesetiaan, kesungguhan dan integriti penjawat awam serta anggota keselamatan sepanjang menjalankan tugas.

“Ini bukan janji politik tetapi ajaran Islam yang diperintah Allah.

“Ini dapat dilihat daripada komitmen Kerajaan Kelantan dan Terengganu dalam memelihara hubungan baik dengan penjawat awam, berbeza dengan situasi yang dirasai oleh pegawai kerajaan di Putrajaya,” ujarnya semasa menyampaikan Ucapan Dasar Presiden PAS sempena Muktamar Tahunan PAS Ke 65 di Stadium Tertutup SUKPA di sini pagi ini.

Menurut Tuan Guru Abdul Hadi, PAS tidak akan melupakan tulang belakang negara.

Beliau turut menyatakan bahawa PAS akan terus mengulangi komitmen untuk menjuarai kebajikan rakyat bawahan dan masyarakat luar bandar khususnya petani, nelayan, peneroka Felda, serta peniaga kecil yang menghadapi keperitan menjalani kehidupan sehari-harian.

Katanya, segmen terpenting ini perlu terus didekati dengan aktiviti kebajikan, pendidikan dan penjanaan ekonomi setempat supaya dapat meningkatkan taraf hidup mereka, seterusnya menjadi penyumbang kepada perpaduan dan kesejahteraan negara. – HARAKAHDAILY 21/6/2019

- Advertisement -