MB T’ganu Naib Presiden PAS baharu

- Advertisement -

KUANTAN: Selain tumpuan rakyat di negara ini terarah terhadap isu yang melanda negara sekarang dengan isu ‘video hanyir’, perhatian orang ramai juga tertumpu di Bandar Indera Mahkota yang merintis jejak memantapkan penyatuan ummah.

- Advertisement -

Stadium Tertutup SUKPA yang terletak tidak jauh dari Hospital Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, orang ramai bersesak-sesak bagi mengikuti perkembangan terkini politik tanah air.

Ramai terpaksa meletak kenderaan di jalan utama apabila laluan ke stadium sesak dengan kenderaan di kiri kanan jalan. Malah ada kenderaan pacuan roda meletak kenderaan di atas pembahagi jalan.

Keluarga perwakilan dan pemerhati yang datang kelihatan ramai berehat di bawah redupan pokok di perkarangan stadium. Keselesaan bermuktamar kali ini hasil taawun PAS dan Umno membolehkan premis milik kerajaan negeri dimanfaatkan.

Muktamar pada sebelah petang bermula pada jam 3 petang dengan pembentangan laporan muktamar lepas yang dibentangkan Setiausaha Agung, Dato’ Takiyuddin Hassan dan kewangan dikemukakan Bendahari PAS Pusat, Razman Zakaria.

Sekarang berlangsung proses pengundian bermula 4.06 petang dan berakhir jam 7.06 petang. Proses pengundian diadakan menggunakan kaedah e-undi bagi memilih 29 senarai anggota jawatankuasa PAS Pusat. Seramai 1,230 perwakilan layak mengundi pada muktamar kali ini.

Pengundian dimulakan Mursyidul Am Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin, Timbalan Mursyidul Am Ustaz Dato’ Ahmad Yakob, Presiden Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan diikuti pimpinan PAS Pusat serta kawasan-kawasan.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat, Dr. Mohd Fuad Mohd Salleh turut mengumumkan jawatan yang menang tidak bertanding diketuai Presiden Tuan Guru Abdul Hadi dan timbalan presiden Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man.

Malah agak mengejutkan apabila tiga naib presiden juga diumumkan menang tanpa bertanding apabila seorang calon tidak mengesahkan hasrat untuk mempertahankan jawatan. Naib presiden sesi lalu Dato’ Ir Iskandar Abdul Samad.

“Oleh itu saya mengumumkan naib presiden menang tanpa bertanding iaitu Ustaz Idris Ahmad, Dato’ Mohd Amar Abdullah dan Dr Ahmad Samsuri Mokhtar,” katanya. – HARAKAHDAILY 21//6/2019

- Advertisement -