Jangan jadi alat pihak pro Israel

- Advertisement -

KUANTAN: PAS menzahirkan kebimbangan terhadap konflik yang berterusan di Asia Barat dan insiden serangan pelampau di rantau Asia Pasifik (Myanmar, New Zealand, Sri Lanka) yang memberi kesan kepada keselamatan dan keamanan di seluruh dunia.

- Advertisement -

Presiden PAS Malaysia, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi berkata, PAS menegaskan bahawa Islam memberi penyelesaian dengan mendahulukan perdamaian, serta mengamalkan diplomasi dan toleransi.

Beliau berucap demikian semasa menyampaikan Ucapan Dasar Presiden PAS sempena Muktamar Tahunan PAS ke-65 di Stadium Tertutup Pahang (SUKPA).

Manakala katanya, persepsi yang salah terhadap Islam seperti fahaman Islamofobia dan Jihadfobia perlu ditangani sebaiknya daripada terus membarah.

Lantaran itu katanya, PAS menyarankan agar Malaysia mengambil peranan yang aktif bagi meredakan ketegangan di peringkat dunia, dengan memanfaatkan kerjasama di kalangan negara jiran ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Kata beliau ia sebagai forum yang bertindak bagi mewujudkan keamanan dan mengimbangi pertembungan di antara dua blok kuasa besar dunia.

Sehubungan itu katanya, PAS akan terus memperjuangkan isu pembebasan bumi Palestin dan menggerakkan misi kemanusian bagi membantu saudara di Gaza, Syria, Yaman dan Myanmar, dengan penglibatan pelbagai agensi dan Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang pastinya memerlukan sokongan daripada kita semua.

Katanya lagi, PAS juga menyarankan agar negara-negara Islam jangan menjadi proksi dan medan perang kuasa besar untuk menyelamatkan negara haram Israel dan kepentingan ekonomi bekas penjajah. – HARAKAHDAILY 21/6/2019

- Advertisement -