BPMS perlu dibudayakan untuk capai PPTI

- Advertisement -

KUANTAN: Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) perlu dibudayakan secara berterusan dan konsisten, bukan hanya sekadar menjadi slogan yang dilaungkan, ditulis dan hanya terhad kepada ahli politik, kata Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

- Advertisement -

Menurut beliau, BPMS perlu turut dijadikan budaya masyarakat awam samada peringkat nasional mahupun antarabangsa dan perlu diterajui oleh pimpinan PAS di dalam setiap ucapan, tulisan dan tindakan.

“Dalam menonjolkan imej PAS sebagai sebuah parti yang inklusif, sifat keterbukaan perlu ada pada setiap pimpinan dan ahli, keterbukaan yang dimaksudkan di sini ialah kemampuan untuk berada di tengah kepelbagaian pemikiran di luar lingkungan kita, supaya kita tidak menjadi jaguh kampung di gelanggang sendiri, tetapi mampu menjadi duta untuk menyampaikan mesej Islam kepada segenap lapisan masyarakat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar bersempena Muktamar Tahunan PAS ke-65 yang berlangsung di Stadium Tertutup Sukan Pahang (Sukpa), di sini, hari ini.

Tambah beliau, usaha membudayakan BPMS seiring dengan usaha merubah paradigma pemikiran yang menjadi tunjang dalam agenda Pemerkasaan Parti dan Transformasi Imej (PPTI).

Mengulas lanjut, katanya perubahan paradigma pemikiran yang dimaksudkan ialah perubahan daripada pemikiran yang berdiri di atas kerangka politik konvensional kepada kerangka politik Islam sepenuhnya yang mampu melakukan islah dan tajdid.

Justeru itu, beliau menyeru pimpinan-pimpinan PAS serta pengikutnya berusaha menjadi contoh terbaik dalam segenap lapangan dan masyarakat serta menjadikan akhlak Islam sebagai amalan selain berhimah dalam setiap tindak-tanduk.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berpandangan bahawa masyarakat mengiktiraf khidmat bakti Jabatan Amal Malaysia (JAM) yang menurut beliau meruakan sesuatu yang harus dibanggakan serta dicontohi.

“Difahamkan, terdapat beberapa agensi kerajaan di dalam bidang menyelamat turut memberikan penghargaan dan mengiktiraf khidmat JAM ini.

“Tahniah dan syabas diucapkan! Usaha ini perlu diteruskan dan diperluaskan di dalam semua peringkat parti,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/6/2019

- Advertisement -