Malaysia digesa pertahan umat Islam sejagat

- Advertisement -
KUANTAN: Dewan Pemuda PAS Malaysia melalui Muktamar Tahunan Kali Ke-60 mengutuk kezaliman, penindasan dan diskriminasi ke atas umat Islam Uyghur di China, Rohingya di Myanmar, Palestin, Syria dan Mesir.
 
Pemuda PAS turut mendesak Kerajaan Malaysia agar lebih bersungguh-sungguh dan konsisten dalam mempertahan dan memperjuang nasib serta hak umat Islam yang tertindas.
 
Perwakilan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Abdul Malik Abdul Razak turut merakamkan rasa sedih dengan pemergian bekas Presiden Mesir, As-Syahid Dr Mohamed Morsi yang digulingkan secara kudeta zalim.
 
“Kita tertanya-tanya apakah sikap kerajaan Malaysia di bawah Pakatan Harapan terhadap kezaliman yang berkenaan dalam keadaan Malaysia beberapa bulan lepas telah melakukan penghantaran pulang beberapa orang pemuda Mesir.
 
“Pemuda Mesir tersebut termasuk mahasiswa universiti di Malaysia sehingga terdedah kepada penyiksaan dan pembantaian dalam tahanan rejim penzalim As-Sisi,” ujarnya membentangkan usul.
 
Sementara itu, dikala negara jiran Brunei diserang dari pelbagai sudut hanya kerana komitmen mereka untuk pelaksanaan syariah, Kerajaan Malaysia yang dipimpin oleh PH tidak memberi reaksi, jauh sekali untuk tampil mempertahankannya.
 
Bagaimanapun, Pemuda PAS menyokong penuh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamed atas keputusan untuk tidak membenarkan atlet Israel masuk ke negara ini bagi menyertai Kejohanan Renang Para Dunia 2019 Julai tahun ini.
 
Pemuda PAS juga tegas Abdul Malik, konsisten menolak kehadiran sebarang entiti berkait rejim Zionis Israel sebagimana membantah kehadiran pasukan kriket Israel ke Malaysia pada April 1997.
 
Sehubungan itu, Pemuda PAS ujarnya, menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar politik, agama, bangsa mahupun warna kulit untuk bersama-sama bersolidariti dengan Tun Mahathir dalam mempertahankan keputusan ini.
 
“Meskipun terpaksa berhadapan dengan tekanan antarabangsa, media pro-rejim Israel, serta pemuka-pemuka liberalis dan sekularis pro-Zionis termasuk dari negara-negara jiran juga yang ada di tanah air,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 20/6/2019
- Advertisement -