Sejarah buktikan kesatuan umat bukan perkauman

- Advertisement -
KUANTAN: Peranan serta usaha PAS dalam penyatuan ummah dari perpecahan akibat sengketa politik telah berlangsung dan menjadi teladan sejak pembentukan Kerajaan Campuran bersama Parti Perikatan lagi.
 
Malah, ia turut diperakui oleh Syed Arabi Idid dalam buku tulisannya bahawa gabungan tersebut bukan bermaksud menggalakkan politik perkauman yang sempit, tetapi paling penting adalah penyatuan bangsa Melayu.
 
Hal tersebut dinyatakan Perwakilan Pemuda PAS Negeri Sarawak, Awang Azwan Awang Taib membahas pada Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Kali Ke-60 di Bukit Gambang Resort City, di sini semalam.
 
“Menjadikan rumpun bangsa ini lebih kuat dan disegani bangsa-bangsa lain di negara ini. Akibat tindakan tersebut, persaingan politik sebelum ini yang saling bermusuhan melibatkan orang Melayu telah reda.
 
“Ini memberi ruang untuk merancang dan membangunkan negara. Kedua-dua pihak juga bersama bertanggungjawab menangani urusan negara demi menghadapi cabaran dan ‘survival’ politik orang Melayu,” ujarnya.
 
Kemukanya juga, prestasi PAS sangat cemerlang semasa berada dalam Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor hingga diberi penarafan lima bintang oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika itu.
 
Bentang beliau, banyak program, inisiatif dan polisi yang baik untuk rakyat Selangor telah dicetuskan oleh Exco PAS di mana persepakatan ketika itu berteraskan kepada kepentingan dan kepercayaan rakyat.
 
“Namun, malangnya sikap angkuh, biadab dan campur tangan DAP dalam institusi dan polisi berkaitan agama Islam dan bangsa Melayu telah meruntuhkan kerjasama yang dibina.
 
“Begitulah sikap tegas PAS dalam kerjasama dengan mana-mana pihak. PAS tidak sama sekali menggadaikan prinsip dan dasar Islam, sebaliknya Islam menjadi panduan dalam pemerintahan,” terangnya. – HARAKAHDAILY 21/6/2019
- Advertisement -