Pemuda PAS bimbang Pendidikan Islam diusik

- Advertisement -
KUANTAN: Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-60 didedahkan situasi membimbangkan berkenaan perkara-perkara yang bercanggah dengan budaya hidup Islam.
 
Perwakilan Pemuda PAS Negeri Johor, Muhammad Firdaus Jaffar mendedahkan, LGBT telah diperjuangkan secara terang-terangan oleh kumpulan minoriti sejak PH berkuasa.
 
Perkara tersebut dinyatakannya ketika membahas Ucaptama Ketua Pemuda PAS Malaysia di Dewan Konvensyen Bukit Gambang Resort City, di sini sebentar tadi.
 
Beliau turut mempersoalkan Kementerian Pendidikan yang bertindak pelik mewujudkan pasukan petugas khas Pendidikan Islam untuk membuat kajian terbuka dalam talian.
 
“Timbul persoalan di sini, siapa yang dilantik untuk membarisi pasukan ini? Mengapa tinjauan dilakukan terbuka di mana boleh berhadapan risiko maklumat tidak tepat atau palsu?
 
“Mengapa tidak diadakan sahaja sesi dialog dua hala bersama para ulamak dan fuqaha atau ilmuan yang pakar berkaitan Pendidikan Islam termasuk guru berpengalaman?” persoalnya.
 
Hal tersebut tegasnya, menunjukkan Islam sedang diserang dari pelbagai sudut sejak PH berkuasa yang perlu dibimbangi oleh sekalian Pemuda PAS untuk berdepan menghadapi keadaan itu.
 
Firdaus turut menyentuh mengenai Revolusi Industri 4.0 yang disifatkan sebagai cabaran baharu di mana menuntut Pemuda juga mengemaskini sistem sokongan semasa.
 
Beliau menyeru keterlibatan semua Pemuda dalam mengurus produk parti, selain memahami hala tuju menerusi Wawasan Induk Negara Sejahtera, Dokumen Hijau dan beberapa dokumen lain. – HARAKAHDAILY 20/6/2019
 
- Advertisement -