Manfaat kemenangan PAS di Kelantan, Terengganu

- Advertisement -

KUANTAN: Anugerah kemenangan yang Allah kurniakan kepada PAS pada PRU14 lalu untuk mentadbir Kelantan dan Terengganu mesti dimanfaatkan sebanyak-banyaknya, kata Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Dr Mahfodz Mohamad.

- Advertisement -

Katanya, kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh kedua-dua negeri itu tidak hanya sebagai tatapan untuk rakyat sahaja malah ia merupakan bukti kejayaan PAS dalam mencorakkan pentadbiran berlandaskan Islam.

“Kejayaan di Kelantan dan Terengganu mesti diangkat sebagai ikon pentadbiran PAS untuk Malaysia sebagai suatu model pentadbiran nubuwwah sekiranya Allah SWT mengizinkan PAS dan pakatannya memerintah Malaysia kelak,” ujarnya ketika menyampaikan ucaptama pada Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Pusat ke-58 di Wisma Belia Indera Mahkota, di sini hari ini.

Tambahnya, peranan media dan lajnah penerangan amat penting dalam memperluaskan capaian kejayaan di Kelantan dan Terengganu ini.

Malah, ujar beliau perlu dipromosikan secara lebih meluas kepada rakyat Malaysia untuk mereka berkunjung ke Kelantan dan Terengganu bagi melihat suasana dan perkembangan terkini di negeri yang ditadbir oleh PAS.

“Tahun melawat Kelantan dan Terengganu mestilah dijadikan peluang bagi menyebarluaskan penerangan serta informasi berkaitan kejayaan, pembaharuan serta pencapaian yang dikecapi oleh kedua-dua negeri itu,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 20/6/2019

- Advertisement -