‘Ikhlas berjuang, Allah tolong’ – Mursyidul Am

- Advertisement -
KUANTAN: Dengan meletakkan sifat ikhlas dalam perjuangan, umat Islam akan berjaya bersama pertolongan Allah, demikian ucap al-Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin merasmian Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Pusat, pagi tadi.
 
Beliau membuka sejarah penubuhan PAS di bumi Mat Kilau ini hasil kepimpinan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Dato’ Mohd Asri Haji Muda pada 26 November 1954 yang membawa kepada penubuhan dua kawasan iaitu Pekan dan Temerloh dan terus berkembang.
 
“PAS merupakan satu parti yang mempunyai pengalaman lama dalam kerjasama tahaluf dan ta’awun dalam politik. Bermula tahun 1953 dengan pelbagai perjanjian ta’awun dan tahaluf. Sehingga yang terkini ta’awun dengan pihak Umno.
 
“PAS menjadi contoh sebuah parti yang terbuka dan berprinsip. Justeru menjadi tanggungjawab kita terus memacu jalan ini sehingga syahid mahupun gugur di jalan Allah ini kerana kitalah yang akan menanam perjuangan untuk dimakan hasilnya oleh generasi akan datang,” katanya.
 
Beliau juga membawa hadirin mengimbau jasa dan kenangan pernah diberikan oleh tokoh pejuang lain terdahulu seperti Tuan Guru Ahmad Hussin, Tuan Guru Abdul Samad Noh yang banyak berkorban demi PAS sehingga ahli PAS pada hari ini berasa selesa dapat bermuktamar.
 
“Dahulu Islam di negara ini terpinggir ke belakang dalam rangka politik kerana kebobrokan pemerintahannya. Sedikit demi sedikit mereka ini berjuang membawa Islam sehingga ramai yang kembali kepada Islam termasuk menyertai PAS sehingga hari ini. Inilah antara pertolongan besar yang diberikan Allah kepada kita,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/6/2019
- Advertisement -