‘Dah tebuk kapal, pukul nakhoda’ – Pemuda Perlis

KUANTAN: Perbezaan pandangan sesama Pemuda PAS tidak harus mengheret hingga ke media sosial untuk dijadikan tempat meluahkan masalah jamaah.
 
Perwakilan Pemuda PAS Negeri Perlis, Mohamad Azreen Jumri mengingatkan bahawa parti ini mempunyai saluran untuk berkongsi pandangan seperti usrah, mesyuarat dan muktamar.
 
Serunya, Pemuda perlu memanfaatkan wasilah tarbiyah dalam menyelesaikan segala permasalahan untuk membaiki jamaah agar tidak dilihat menjadi punca merosakkan jamaah.
 
“Malah, kita jadi orang yang menebuk kapal sedang dilayari. Kalau tebuk kapal saja tak ada masalah, hang  katok (awak pukul) nakhoda kapal pula,” bidasnya pada Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Kali Ke-60, sebentar tadi.
 
Beliau menegaskan kepentingan ukhuwah dan thiqah sebagai tonggak kekuatan jamaah terutama kepada pimpinan tanpa rasa ragu-ragu dengan mereka yang telah dipilih.
 
“Yakinlah, pemimpin di hadapan kita menggalas tanggungjawab menegakkan Islam bersama kita. Mereka sanggup bersusah payah turun ke negeri, medan membaiki masalah dan melancarkan gerakan,” serunya. – HARAKAHDAILY 20/6/2019