Waspada geopolitik musuh dan kesilapan integriti

- Advertisement -
KUANTAN: Fokus Pemuda PAS haruslah sentiasa seiring dengan perkembangan dunia politik Islam terutamanya pasca 11 September 2001 yang menyaksikan kuasa Barat menanamkan kempen Islamofobia ke atas dunia Islam.
 
Perwakilan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Muhammad Rijaludeen Muhammad Anwar berkata, hal tersebut penting berikutan terlihatnya beberapa kegagalan dialami Gerakan Islam yang antaranya dipergunakan musuh.
 
Beliau merujuk peristiwa Arab Spring sebagai contoh di mana digunakan musuh Islam merealisasikan aspirasi pakatan Zionis Amerika terutamanya bagi melaksanakan projek pemetaan semula negara-negara umat Islam di Asia Barat. 
 
“Di sinilah kita dapati adanya beberapa kelemahan yang dialami oleh gerakan Islam. Antaranya gerakan Islam tidak didedahkan secara ilmu ke atas ahli dan pemimpinnya berkaitan politik Islam dan juga ilmu politik dunia antarabangsa. 
 
“Termasuklah informasi-informasi serta kajian berkenaan dengan perancangan musuh yang mahu dikenakan terhadap gerakan Islam. Di sini juga kita dapati beberapa maklumat bagaimana gerakan Islam kini sudah longgar daripada kewaspadaan mereka terhadap keselamatan gerakan itu sendiri,” ujarnya.
 
Beliau membahas Ucaptama Ketua Pemuda pada Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-60 di Dewan Konvensyen Bukit Gambang Resort City, di sini sebentar tadi.
 
Keadaan tersebut jelasnya, enyebabkan terdapat beberapa Gerakan Islam telah dicerobohi oleh agen-agen musuh yang masuk mempengaruhi pembawaan, selain gagal memahami realiti geopolitik dan motif disebalik agenda Barat.
 
“Begitu juga daripada kesilapan itu, menyebabkan gerakan Islam diperalatkan dan senang dipergunakan untuk bersama-sama dengan gelombang yang dicipta melalui media. Dan kita mendapati mereka yang menjadi mangsa yakni orang-orang yang berada dalam gerakan Islam. 
 
“Sehingga ke hari ini, kita lihat sendiri bagaimana sahabat kita yang berada dalam Ikhwanul Muslimin kelihatan sangat sukar untuk kembali ke persada politik negara buat sementara waktu selepas daripada kegagalan dalam era Arab Spring,” kesalinya.
 
Beliau memetik pengajaran sejarah kejatuhan Uthmaniyyah di mana orang-orang Islam diperdaya oleh propaganda Barat untuk menghidupkan sentimen bangsa di antara Turki dan Arab hingga berlaku Revolusi Arab 1916. 
 
Beliau mengingatkan corak isu dan sentimen mazhab serta konflik dipergunakan untuk melagakan sesama umat Islam dan juga Gerakan Islam hingga akhirnya semua menjadi korban dimangsakan oleh musuh Islam.
 
Beliau turut menyentuh isu integriti antaranya kes korupsi yang terpalit kepada Gerakan Islam di negara jiran menyebabkan umat Islam di negara itu sukar memberikan kepercayaan kepada kumpulan Islam tersebut.
 
“Jadi ini masalah yang dihadapi oleh gerakan Islam di negara luar. Hasil daripada tidak cermatnya di dalam menguruskan politik, kerana masing-masing terbawa-bawa dengan politik semangat,” ujarnya menggesa kefahaman diperbetulkan. – HARAKAHDAILY 19/6/2019
- Advertisement -