Semangat Tok Gajah suntik Muktamar Pemuda

- Advertisement -
KUANTAN: Kehebatan ketuanan Melayu dan kemasyhuran tokoh ulamak Pahang, Tok Gajah yang diabadikan sempena Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-60, yang berlangsung di Dewan Konvensyen, Gambang Resort City, di sini hari ini.
 
Dengan mengenakan busana Melayu bertengkolok, saf kepimpinan Pemuda mengambil aura kehebatan ulamak tersohor itu untuk menjadikannya sebagai semangat meneruskan perjuangan, selain menjaga hak-hak Islam dan orang Melayu. 
 
Di awal majlis, Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man selaku perasmi diarak menaiki beca, diiringi Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi dan kumpulan seni pertahan diri  silat Melayu.
 
Terdahulu, Ustaz Tuan Ibrahim juga diberi penghormatan tabik hormat dan pemeriksaan perbarisan Jabatan Amal Malaysia di ruang legar sebelum majlis perasmian dimulakan.
 
Muktamar ini menyaksikan antara kehadiran tetamu paling ramai iaitu hampir mewakili NGO dan NGI termasuk delegasi antarabangsa dan juga dari parti politik seperti Ikatan, Berjasa, Umno dan MIC.
 
Antara tokoh politik yang hadir termasuklah Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad, Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh dan Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Aziz.
 
Sementara itu dewan terbabit maju setapak lagi ke hadapan apabila semua urusan pentadbiran dan perbahasan dilaksanakan di bawah ketua sektor sebagai persediaan kerajaan menunggu pada PRU akan datang. – HARAKAHDAILY 19/6/2019
- Advertisement -