Optimumkan guna media sosial, dominasi RI4.0

- Advertisement -
KUANTAN: Pemuda PAS perlu mengoptimumkan penggunaan media sosial yang menjadi ‘tempat pertemuan’ dengan anak-anak muda agar dapat menyampaikan suara Islam kepada golongan ini.
 
Perwakilan Pemuda PAS Negeri Perak, Nurhafizul Badrul Hisyam menyeru demikian pada perbahasan Ucaptama Ketua Pemuda di Muktamar Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-60, malam tadi.
 
Katanya, Pemuda PAS Perak mencadangkan pembentukan amilin PAS di media sosial secara tersusun dengan penubuhan Mujahid Siber yang diurus secara serius, bertanzim dan bermodul.
 
Hal itu ujarnya, supaya pelaksanaan kerja dilakukan berdasarkan ilmu dan strategi menjauhi emosi, sekali gus meningkatkan keberkesanan dalam penggunaan media sosial.
 
“Pertembungan di medan maya juga perlukan Panglima Perang. Perlu susun strategi dengan tentera memberi wala’ kepada pimpinan. Ini asas memenangi pertembungan antara kebenaran dan kebatilan,” ujarnya di Bukit Gambang Resort City, di sini.
 
Realitinya jelas beliau, untuk mendapatkan PAS dengan akses enjin carian di ruang maya tidak akan sampai ke medium milik parti seperti portal rasmi PAS dan HarakahDaily.
 
Sebaliknya menurut beliau, membawa ke medium milik musuh politik PAS di mana ia boleh mempengaruhi pemikiran pembaca, sekali gus hal itu menuntut untuk meningkatkan daya capaian.
 
Hal tersebut katanya, dapat dilaksanakan dengan  meneroka aplikasi teknologi tinggi yang banyak di pasaran hari ini dan digunakan syarikat-syarikat supaya dapat mewujudkan pengurusan bersistematik.
 
Tambahnya, hal tersebut dapat mewujudkan hub pintar info di sekitar isu anak muda dan juga meningkatkan produktiviti melalui sistem automasi dalam urusan teknikal untuk menakhodai anak muda.
 
Dalam perbahasan itu, beliau turut menyeru Pemuda PAS mendominasi Revolusi Industri 4.0 menerusi penglibatan pakar-pakar berkaitan dengan mewujudkan kumpulan pemikir. – HARAKAHDAILY 20/6/2019
- Advertisement -