Morsi tetap kekal jadi inspirasi Pemuda Islam PAS

- Advertisement -
MEWAKILI seluruh Pemuda PAS, kami yang turut merasa sedih atas kembalinya ke rahmatullah bekas Presiden Mesir, Dr Mohamed Morsi, merakamkan takziah buat rakyat negara itu. Khususnya kepada kaum keluarga beliau dan para pendukung Ikhwanul Muslimin.
 
Kami mendoakan semoga Allah S.W.T mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum, moga ditempatkan dalam kalangan para syuhada yang diangkat darjat sisi-Nya. Sungguh, kami bersaksi akan perjuangan beliau serta pencapaian pemerintahan walaupun singkat.
 
Tetapi, kami berdukacita atas tindakan kudeta ke atas pentadbiran kerajaan diterajui beliau semasa hayatnya. Apatah lagi kematiannya saat menghadapi tempoh perbicaraan yang diketahui sangat meragukan, malah berawal dari langkah politik rejim pemerintah.
 
Namun, Almarhum Dr Mohamed Morsi telah menjadi cahaya inspirasi yang menyuntik keyakinan dan semangat kami para Pemuda Islam untuk terus mendukung perjuangan menegakkan agama Allah di atas muka bumi ini.
 
Beliau menjadi teladan yang telah meletakkan sejarah dan namanya bersama kelompok pejuang terdahulu antaranya Imam Hasan al-Banna, Sayyid Qutb dan ramai lagi pemimpin Islam atas istiqamah dan keteguhan mempertahan prinsip dan kebenaran.
 
Kami melihat, biarpun mengakhiri hayat dalam keadaan sedemikian, ia adalah kemuliaan dan keistimewaan dikurniakan Allah buat sang pejuang sejati. Selayaknya beliau dilihat merintis perjuangan Nabi Yusuf A.S dan Nabi Musa A.S serta para Nabi lainnya di bumi yang turut terkenal oleh kezaliman Firaun itu.
 
Kami menyeru para sahabat Pemuda PAS memberi penghormatan terakhir dari jauh buat Almarhum dengan mengadakan solat jenazah ghaib sesempurna jenazah dikebumikan nanti.
 
“Islam Memimpin”
“Terus Mara”
 
YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 18/6/2019
- Advertisement -