Krisis politik, PRK: Muktamar PAS tertangguh

- Advertisement -

MUKTAMAR tahunan atau mesyuarat agung tahunan PAS yang sepatutnya diadakan setiap tahun, telah berjaya diadakan oleh PAS mengikut jadual berdasarkan Undang-undang Tubuh PAS 1951. Namun begitu, disebabkan oleh beberapa isu yang tidak dapat dielakkan, PAS terpaksa menangguhkan beberapa mesyuarat agung tahunannya. Jika berdasarkan tahun penubuhan PAS, pada tahun 1976 merupakan tahun ke-25 kewujudan PAS dan sepatutnya telah ada 25 mesyuarat agung tahunan. Tetapi pada 1976, PAS baru mengadakan mesyuarat agung tahunan ke-22 dengan 21 kali majlis mesyuarat agung.

- Advertisement -

Fadli2Faktor utama yang menyebabkan PAS telah gagal mengadakan mesyuarat agung sebanyak empat tahun ialah krisis politik semasa yang berlaku, selain faktor terdesak seperti pilihan raya kecil. Secara umumnya, faktor penyebab PAS tidak dapat mengadakan mesyuarat agung adalah seperti berikut:

1) Berlakunya krisis politik Terengganu selepas Pilihan Raya Umum 1959. Kerajaan PAS Terengganu yang dipimpin oleh Mohd Daud Abdul Samad telah mengalami krisis ekoran pergolakan dalaman pada 1960 dan berakhir dengan kejatuhan kerajaan pada 30 Oktober 1961. Isu ini telah memberi kesan kepada ketertiban mesyuarat agung PAS antara 1960-1962;

2) Isu penubuhan Malaysia dan Konfrantasi Indonesia. Pengumuman oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra di Singapura tentang cadangan penubuhan Malaysia pada 31 Mei 1961 telah menyebabkan PAS terpaksa mengadakan Mesyuarat Agung Khas PAS secara tergesa-gesa pada 15 Oktober 1961. Oleh hal yang demikian, mesyuarat agung tahunan 1961 ditangguhkan ke tahun 1962. Kemudian, bantahan Indonesia terhadap penubuhan Malaysia melalui Konfrantasi Indonesia telah memberi kesan secara langsung kepada kestabilan politik PAS yang berakhir dengan penahanan pimpinan utama PAS, termasuk Dr Burhanuddin al-Helmy pada 5 Januari 1965;

3) Siri pilihan raya kecil yang berlaku secara berturut-turut pada 1967-1968 telah menyebabkan PAS beberapa kali menangguhkan mesyuarat agung tahunan 1967, yang berkesudahan dengan penggabungan dua mesyuarat agung pada 1968;

4) Penganjuran Hartal oleh parti-parti sosialis, khususnya Parti Buruh kerana isu kejatuhan nilai ringgit Malaysia pada awal Disember 1967. Ramai pemimpin politik kiri, termasuk hampir 50 orang ahli PAS ditahan di bawah ISA. Jawatankuasa Kerja Agung PAS turut membincangkan kemungkinan PAS akan turut dikenakan tindakan pengharaman seperti Parti Buruh; dan

5) Tragedi 13 Mei 1969 yang menumpahkan darah selepas Pilihan Raya Umum 1969 telah menyebabkan negara diisytiharkan darurat dan seluruh kegiatan politik dibekukan sehingga 1971.

Mesyuarat Agung Tahunan PAS ditangguh

Undang-undang Tubuh PAS 1951 telah menetapkan supaya PAS mengadakan mesyuarat agungnya setiap tahun, seboleh-bolehnya pada bulan Ogos bersempena penubuhan PAS pada 23 Ogos 1951. Namun begitu, pada tahun 1952, faktor jumlah cawangan PAS yang belum mencukupi 20 buah cawangan serta berlakunya krisis Kaum Muda-Kaum Tua, PAS telah mengambil keputusan untuk menangguhkannya hingga akhir 1952. Hal yang demikian juga adalah bertujuan untuk melaksanakan mesyuarat agung tahunan secara serentak dengan Majlis Muzakarah Ulamak Se-Malaya pada 4 Januari 1953. Akhirnya, Mesyuarat Agung Tahunan PAS untuk 1952 diadakan pada 3 Januari 1953. Setelah itu, mesyuarat agung kedua berjalan mengikut jadual iaitu pada 26-28 Ogos 1953. Selepas merdeka, antara 1960-1962, PAS tidak dapat memberi fokus kepada mesyuarat agung kerana PAS memberi keutamaan kepada krisis politik Terengganu yang berakhir dengan kejatuhan Kerajaan PAS Terengganu pada 30 Oktober 1961. Satu lagi faktor yang turut berperanan ialah isu penubuhan Malaysia yang memaksa PAS mengadakan Mesyuarat Agung Khas PAS pada 15 Oktober 1961.

Keadaan politik yang tidak stabil ini menyebabkan PAS tidak dapat mengadakan mesyuarat agung bagi tahun 1960, dan terpaksa diadakan secara tergesa-gesa pada 11-13 Februari 1961. Seterusnya, Mesyuarat Agung Khas PAS telah diadakan pada 15 Oktober 1961 dan diikuti oleh Mesyuarat Agung Tahunan PAS 1961 pada 5-6 Januari 1962. Manakala untuk tahun 1962 PAS telah mengadakan mesyuarat agung tahunannya pada 31 Disember 1962 hingga 2 Januari 1963. Bagi penyelarasan semula tarikh-tarikh mesyuarat agung, tiada mesyuarat agung dilaksanakan pada 1963, tetapi kembali bermesyuarat agung pada 21-23 Ogos 1964. Setelah itu, ia berjalan lancar sehingga 1966. Pada tahun 1967, PAS merancang untuk mengadakan muktamarnya kali ke-15 di Terengganu pada 7-10 Ogos 1967, tetapi rencana ini tertangguh disebabkan berlakunya siri pilihan raya kecil yang berturut-turut.

Ia bermula dengan pembunuhan Ahli Parlimen PAS Pasir Mas Hulu, Abdul Samad Ghul Ahmad Minanji pada 2 Julai 1967, diikuti oleh kematian dalam satu kemalangan jalan raya ke atas Ahli Parlimen PAS Kelantan Hilir, Haji Ahmad Perai pada 30 Julai 1967, dua pilihan raya kecil diadakan masing-masing pada 19 Ogos 1967 dan 21 Oktober 1967. Kemudian, PAS menyertai pula pilihan raya kecil DUN Chukai, Terengganu (23 Disember 1967), DUN Baling Barat, Kedah (27 Januari 1968) dan DUN Bachok Utara, Kelantan (7 Februari 1968). Siri pilihan raya kecil ini turut menggagalkan dua rancangan PAS mengadakan muktamarnya pada 6-9 Oktober 1967, yang kemudiannya ditangguhkan lagi ke tarikh baru, 19-22 April 1968, tetapi turut tertangguh.

Faktor lain yang memberi kesan kepada penangguhan ini ialah Hartal 1967 yang dilancarkan oleh Parti Buruh pada awal Disember 1967 yang menyebabkan sejumlah ahli PAS ditahan ISA. PAS kemudiannya telah menangguhkan Mesyuarat Agung Tahunannya yang ke-15 dan ia diadakan serentak dengan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Ke-16 pada 19-22 April 1968 di Perlis. Sedangkan pada 1969, PAS menangguhkan Mesyuarat Agung Tahunannya ke-17 kerana berlangsungnya Pilihan Raya Umum pada 10 Mei 1969, tetapi disebabkan tercetusnya tragedi 13 Mei 1969, seluruh kegiatan politik digantung dalam suasana darurat. Selepas keadaan politik dipulihkan pada 1971, baharulah PAS dapat mengadakan semula Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-17 pada 18-20 Jun 1971.

MOHD FADLI GHANI
Head House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS – HARAKAHDAILY 18/6/2019

- Advertisement -