Royalti: Menteri PH tidak ‘sekepala’

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan tidak menolak ketidaksefahaman antara menteri Pakatan Harapan (PH) menyebabkan bayaran royalti petroleum terhadap negeri itu belum lagi diperolehi.

- Advertisement -

Berdasar perkembangan yang berlaku seperti tidak wujud persefahaman antara Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dato’ Seri Mohamad Azmin Ali dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkaitan isu terbabit.

Oleh itu Menteri Besar Ustaz Dato’ Ahmad Yakob berharap menteri PH bersatu hati dalam isu berkaitan.

Beliau membangkitkan isu tersebut ketika menjawab soalan tambahan Dato’ Abdul Aziz Derashid (BN – Kuala Balah) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini.

Abdul Aziz sebelum ini melahirkan rasa bimbang kerajaan PH tidak mampu menunaikan janji berdasar kegagalan melaksanakan manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.

Katanya, adakah janji memberi royalti sama juga dengan janji palsu PH berkaitan perkara lain.

Bagaimanapun Menteri Besar berkata, beliau mengambil sikap tunggu dan lihat terhadap perkembangan bayaran royalti petroleum terhadap Kelantan.

Menjawab isu sama dibangkit Dato’ Md Alwi Che Ahmad (BN – Kok Lanas) katanya berdasar usia Perdana Menteri sekarang (menghampiri 100 tahun) dia akan menunaikan apa yang dijanjikan.

“Kalau masih belum tunaikan bayaran royalti terhadap Kelantan, anggota-anggota parlimen kita akan memainkan peranan mendesak pada persidangan parlimen,” ujarnya.

Sebelum ini Azmin dilapor berkata, bayaran royalti terhadap Kelantan akan dibuat pada April 2019 selepas selesai isu penarikan balik saman terhadap Petronas. – HARAKAHDAILY 17/6/2019

- Advertisement -