Politik Turki membimbangkan

- Advertisement -
PILIHAN Raya semula Majlis Perbandaran Istanbul yang bakal berlaku pada 23 Jun ini menjadikan suhu politik Turki semakin panas sepanas musim panas yang di alami Turki sekarang ini.  
 
Parti AK (AKP) menang majoriti undi di seluruh negara dalam Pilihan Raya Majlis Perbandaran 31 Mac lalu, namun pengundi jelas menghukum parti pemerintah itu di beberapa bandar utama.
 
Satu perkara yang agak mengejutkan apabila parti Presiden Erdogan, Parti AK tewas dalam Pilihan Raya Majlis Perbandaran bagi Istanbul, Ankara dan Izmir
 
Perkembangan ini menarik perhatian tokoh-tokoh gerakan Islam antarabangsa, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang turut prihatin dengan perkembangan yang berlaku. Beliau berkunjung ke Turki bagi menyaksikan perkembangan dan mengemukakan pandangan beliau kepada pihak-pihak berkenaan. 
 
Berikut adalah keputusan Pilihan Raya Majlis Perbandaran di 3 bandar utama Turki yang dilaporkan agensi berita Anadolu:
 
• Istanbul – 48.8 peratus CHP, 48.5 peratus AKP
• Ankara – 50.9 peratus CHP, 47 peratus AKP
• Izmir – 58 peratus CHP, 38.6 peratus AKP
 
Bagi Kota Istanbul persaingan hebat berlaku antara Binali Yildirim dan Ekrem Imam Oglu. Binali Yildirim yang merupakan mantan Perdana Menteri Turki mewakili AKP, iaitu parti penyandang Presiden Turki sekarang. Manakala Ekrem Imamoglu dari parti CHP, iaitu Parti sekular yang memperjuangkan pemikiran Ataturk juga parti yang disokong oleh pengikut Gulen yang disyaki menjadi dalang kepada rampasan kuasa yang lalu.
 
Keputusan yang agak menggemparkan berlaku dalam pilihan raya tersebut apabila calon Datuk Bandar parti pembangkang, Parti Rakyat Republikan (CHP), Ekrem Imamoglu mendahului bekas Perdana Menteri, Binali Yildrim daripada parti AKP dengan kira-kira 25,000 undi.
 
Atas bantahan yang di kemukakan AKP pilihan raya semula terpaksa diadakan pada 23 Jun ini. Suasana kempen semakin panas, rakyat dilihat tidak sabar melihat keputusan pilihan raya semula ini sambil khuatir dengan apakah yang bakal berlaku selepas keputusan diumumkan nanti. 
 
Pilihan Raya Majlis Perbandaran Istanbul amat penting kerana bakal mencorakkan lakaran politik berikutnya di mana menjadi kebiasaan bahawa pemimpin yang memenangi Pilihan Raya Majlis Perbandaran Istanbul bakal menaiki takhta Presiden Turki melalui Pilihan Raya Presiden Turki yang bakal berlaku nanti.
 
Sokongan terhadap AKP dan juga Erdogan berkurangan atas beberapa punca, antara yang utama ialah:
 
1.    Politik nepotisme yang diamalkan Erdogan. Hal ini amat ketara dan jelas tatkala Erdogan melantik menantunya Berat Albayrak yang baru berusia 41 tahun menjadi Menteri Kewangan dalam kabinet beliau.
 
2.    Penggubalan perlembangan yang mengubah bentuk pemerintahan Turki dan memberikan kuasa yang lebih kepada Presiden Erdogan sangat tidak disenangi sesetengah pihak. 
 
3.    Erdogan juga dikatakan kurang serius melaksanakan Islam, yang menimbulkan kemarahan kalangan rakyat yang mengambil berat agama.
 
4.    Negara itu bergelut dengan krisis ekonomi, pengangguran dan kadar inflasi dua angka. Walaupun Erdogan dikagumi keberanian beliau mengemudi aspek ekonomi, tetapi beberapa hari sebelum pengundian, mata wang Lira Turki menjunam lagi, sekali gus membawa igauan buruk ketika krisis mata wang tahun lalu yang menjejaskan sebahagian besar isi rumah negara.
 
Keadaan lebih merunsingkan apabila rakan-rakan seperjuangan dan sahabat karib Erdogan tidak lagi bersama beliau iaitu Abdullah Gul mantan Presiden Turki, Davud Oglu mantan Perdana Menteri Turki dan lain-lainnya yang juga mempunyai penyokong yang ramai. Mereka ini dijangkakan bakal menubuh parti baru yang menjadi pesaing Erdogan.
 
Ramai yang menjangkakan Ekrem Imamoglu dari parti CHP bakal memenangi pilihan raya semua Perbandaran Istanbul. Jika melihat awlawiyyat seharusnya rakyat Turki terus kekal bersama Erdogan dan AK Parti memandangkan Parti Rakyat Republikan (CHP) yang menjadi pesaing AKP lebih bahaya dan lebih bermudharat.
 
Moga rakyat Turki membuat pemilihan yang terbaik dalam pilihan raya semula 23 Jun ini, mengambil kira keuntungan jangka panjang bagi Islam dan umatnya, melihat kepada awlawiyyat serta ma’alat.
 
MUHAMMAD ISMI MAT TAIB
Setiausaha 
Lajnah Antarabangsa PAS Pusat – HARAKAHDAILY 17/6/2019
IMG 20190617 WA0016
- Advertisement -