Kolah di Kuala Koh hanya sekadar hiasan

- Advertisement -

GUA MUSANG: Dakwaan kematian 14 penduduk Orang Asli di Kuala Koh pada peringkat awal cuba dikaitkan dengan perlombongan magnan yang dianggap mencemarkan sungai.

- Advertisement -

Namun Jumaat lepas analisis Jabatan Alam Sekitar menolak segala dakwaan itu dan menjelaskan sungai di Kuala Koh tidak tercemar.

Dan hari ini segala dakwaan awal pencemaran alam sekitar tersasar lagi apabila Menteri Kesihatan Dato’ Seri Dr Dzukefely Ahmad dilapor mengesahkan penduduk Orang Asli di Kuala Koh dijangkiti wabak measles atau demam campak.

Menurutnya sehingga 15 Jun 2019 sebanyak 37 kes disahkan demam campak selepas dilakukan ujian makmal.

Kata beliau faktor utama wabak measles merebak di perkampungan tersebut kerana imunisasi MMR sangat rendah iaitu 61.5 peratus bagi dos pertama dan 30 peratus suntikan dos kedua.

Penghulu Mukim Aring Mohd Hisyam Nordin berkata, penjagaan kesihatan penduduk di Kuala Koh agak terabai berbanding penempatan Orang Asli di kawasan lain.

Katanya, biar pun kedudukan rumah mereka tidak jauh daripada sungai namun kurang penjagaan diri ketika mandi.

“Biarpun mereka sering mandi di sungai namun tidak gemar menggunakan sabun dan hanya sekadar mandi biasa sahaja.

“Malah ramai bayi yang dilahirkan tidak mendapat suntikan vaksin bagi mencegah penyakit. Keadaan itu menyebabkan ketahanan badan mereka tidak kuat apabila dijangkiti penyakit,” katanya ketika ditemui semalam.

Kedudukan klinik agak jauh daripada Kuala Koh juga menjadi antara punca penduduk kurang berminat mendapat rawatan moden.

Paling dekat klinik di Aring 6 dan Aring 1 yang terletak lebih 20 km daripada penempatan mereka.

Mohd Hisyam juga berkata, faktor penduduk kaum Bateq suka berpindah randah bagi mencari rezeki dalam hutan, menyebabkan mereka sukar mendapat rawatan di klinik.

Seorang penduduk Orang Asli Zeli Shakir Khan, 25 berkata beliau berpindah dari Kuala Koh ke Aring 5 selepas ramai penduduk terkena jangkitan penyakit.

Namun isteri dan dua anaknya sekarang dikuarantin di Hospital Gua Musang biar pun mereka belum disahkan mengidap radang paru-paru.

“Masalah utama di Kuala Koh kerana tidak bekalan air bersih. Biarpun ada kolah dibina Jakoa namun tiada air bersih.

“Generator yang ada sudah lama rosak. Kolah sekarang hanya sekadar hiasan sahaja. Ini menyebabkan penduduk mendapat sumber air di ladang sawit bagi kegunaan harian,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 17/6/2019

- Advertisement -