ECRL: PH gugur 3 stesen di Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Barisan Nasional (BN) dianggap lebih baik berbanding Pakatan Harapan (PH) apabila kerajaan sekarang menggugurkan tiga stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kelantan.

- Advertisement -

Ketika awal dirancang kerajaan BN stesen ERCL akan dibina di Tok Bali, Jelawat, Kota Bharu, Wakaf Bharu dan Pengkalan Kubor.

Namun di bawah kerajaan PH tiga stesen digugurkan iaitu di Jelawat, Wakaf Bharu dan Pengkalan Kubor.

Dato’ Mohd Adhan Kechik (BN – Bukit Bunga) berkata, perancangan di bawah kerajaan BN dianggap lebih baik kerana mengutamakan pembinaan ECRL sehingga ke Pengkalan Kubor.

Namun katanya di bawah kerajaan PH pula Pengkalan Kubor dan dua lagi stesen ditiadakan.

“Jadi kita harap kerajaan negeri membuat rayuan kepada kerajaan pusat supaya mengekalkan laluan asal ECRL,” katanya pada persidangan Dun hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan Dato’ Hanifa Ahmad berkata, kerajaan negeri sudah menghantar surat rayuan bagi memastikan stesen di Tok Bali disediakan untuk kemudahan penumpang dan kargo.

Katanya, berdasar taklimat Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) stesen di Tok Bali hanya untuk penumpang sahaja, sedangkan perancangan awal disediakan bagi penumpang dan kargo.

“Keadaan itu boleh menjejaskan pembangunan Tok Bali sebagai pusat industri hiliran. Stesen itu dirancangkan dibina di Cherang Tuli yang terletak kira-kira 15 km dari Tok Bali,” katanya menjawab soalan asal Zuraidin Abdullah (PAS-Chetok). – HARAKAHDAILY 17/6/2019

- Advertisement -