Politik amalan kotor fahaman barat

- Advertisement -

KUANTAN: Fahaman yang mengatakan politik adalah kotor merupakan fahaman yang dibawa anasir luar seperti fahaman barat yang telah masuk ke dalam minda masyarakat Malaysia secara perlahan-lahan, kata Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

- Advertisement -

Menurut beliau, politik dan agama tidak boleh dipisahkan, ia juga merupakan satu perintah agama yang mana asalnya suci dan juga mulia, begitu juga politik dan akhlak yang mana menjadi tuntutan dalam Islam, namun dikotorkan oleh sifat manusia.

“Jadi fahaman mengatakan politik satu amalan kotor, itu fahaman barat yang dimasukkan ke dalam masyarakat kita, sebab itu saya sebut tadi, jangan ada campur tangan asing dalam urusan politik kita ini,” jelasnya ketika ditemui media selepas merasmikan Muktamar Dewan Muslimat PAS (DMPM) ke-59 di Bukit Gambang Resort City, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau ketika ditanya sama ada berpendapat Malaysia sebuah negara yang mempunyai campur tangan luar dalam politik berkata, ia tidak mustahil kerana fahaman asing telah mengajar masyarakat dengan politik yang kotor.

Sementara itu, menyentuh isu muafakat bersama PAS-Umno bersama parti komponen Barisan Nasional iaitu Kongres India Malaysia (MIC) dan Persatuan Cina Malaysia (MCA), Tuan Guru berkata, terdapat perkara positif berlaku di antara ketiga-tiga parti tersebut.

Antaranya lawatan MIC ke Pejabat Agung PAS berserta lawatan PAS ke Pejabat MIC serta partisipati PAS dalam membantu MCA di Pilihan Raya Kecil (PRK) Balakong.

“Itu sudah ada satu perkara yang positif, dan kita menyaksikan bagaimana bukan semua masyarakat Cina dan India boleh terima budaya ekstrem, kita tidak mahukan kerana nila setitik, merosakkan susu sebelanga, sebab itu perlu dibendung budaya politik ekstrem ini.

“Saya juga nasihatkan supaya kalangan bukan Islam ini perlu mengambil kira hubungan yang baik, jangan terpengaruh dengan budaya politik ekstrem,” jelas beliau lagi. – HARAKAHDAILY 15/6/2019

- Advertisement -