Muslimat buka tirai Muktamar Tahunan PAS

KUANTAN: Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Malaysia Kali Ke-59 telah disempurnakan perasmiannya oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Pusat Konvensyen Bukit Gambang City, di sini sebentar tadi.
 
Muktamar yang membawakan tema “Islam Memimpin Wanita Sejahtera” ini menjadi pembuka tirai kepada Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke-65 yang akan berlangsung di Stadium Tertutup SUKPA, di sini pada 21 hingga 23 Jun nanti.
 
Malah, perwakilan dan pemerhati Muslimat PAS termasuk para tetamu Wanita berhimpunan mengawali Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Malaysia dan Muktamar Tahunan Ulamak PAS Pusat yang akan diadakan pada 19 dan 20 Jun ini.
 
Dengan warna hijau mendominasi upacara pembukaan, majlis rasmi bermula dengan perbarisan dari Briged Muslimat dan bacaan surah Luqman yang dialunkan oleh Johan Tilawah Al-Quran Negeri Pahang, Ustaz Zul Hasyimi Mohamed Yunus.
 
Pada majlis gilang-gemilang ini turut menyaksikan pelancaran karya-karya terbitan khas Muslimat yang disempurnakan bersama Ketua Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh dan Tuan Guru Abdul Hadi.
 
Hadir sama menyerikan majlis adalah Exco-exco Wanita Umno Malaysia antaranya Dato’ Rosni Sohar, Datin Mastura Yazid, Dato’ Rosni Zahari dan beberapa lagi serta rakan NGO Wanita antaranya PURNAMA, Khairunnisa’, HALUAN, Sister In Unity, PAPISMA, ISMA dan lain-lain lagi. – HARAKAHDAILY 15/6/2019
Ucaptama