Iktibar PRU14 dan persediaan PRU15

- Advertisement -

KUANTAN: Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, kemenangan PH dalam PRU lepas satu tragedi yang sungguh menyedihkan buat Islam dan penganutnya.

- Advertisement -

Beliau berkata, DMPM seharusnya turut merasa bersalah disebabkan kelemahan dan kealpaan serta kegagalan kita meyakinkan masyarakat tentang kepentingan pelaksanaan dan penghayatan Islam dalam PRU lepas.

Menurut beliau, negara dipimpin oleh pemerintah yang tidak menampakkan kesungguhan menepati janji dan tawaran, apatah lagi bersatu hati mempertahankan kedudukan Islam yang utuh termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, di antara hasil post-mortem PRU lepas, kita mendapati faktor serangan media sosial menyumbang kepada peratusan tertinggi (75 peratus) yang membawa kepada kekalahan PAS.

“Saya percaya golongan wanita juga tidak ketinggalan dalam kepesatan penggunaan media sosial. Kita berkemungkinan terlepas pandang peranan yang sepatutnya dimainkan oleh muslimat menerusi media sosial hingga tidak merebut peluang dalam lapangan ini dan tidak diberikan peranan serius. Tiada usaha-usaha bersepadu dan berfokus,” katanya pada ucaptama Muktamar DMPM di Pusat Konvensyen Bukit Gambang Resort City, Kuantan.

Menurut beliau, bersifat reaktif tanpa sebarang perancangan dan pendedahan dalam kemahiran menguasai media sosial khususnya atau membuat jaringan kerjasama dengan entiti lain seperti Penerangan PAS Pusat, DPPM dan sebagainya.

Katanya, hampir setiap hari kedapatan berita yang mencabar kesabaran umat Islam seperti tindakan menyerang institusi agama dan raja secara terbuka, pluralisme agama atas nama keharmonian kaum, tuntutan secara terbuka untuk mengamalkan kebebasan hak individu atas nama hak asasi
manusia.

Tambah beliau, walaupun jelas ianya bertentangan dengan ajaran Islam dan menggambarkan fahaman serong liberalisme sudah mula dinormalisasikan dalam kehidupan masyarakat Malaysia.

Beliau berkata, kaum wanita turut diheret dalam kancah yang sangat bahaya antaranya tafsiran bebas dan terbuka terhadap hukum syarak yang berkaitan dengan wanita.

Katanya, sehingga timbul pertikaian terhadap isu poligami, faraid, perintah menutup aurat, tuntutan hak untuk murtad, hak talaq kepada suami, perkahwinan sesama jantina, seks bebas dan lain-lain yang bertujuan untuk memesongkan keyakinan mereka terhadap penghayatan Islam.

“Kita mendapati kerajaan PH terutama pemimpin Islamnya sudah tidak menampakkan sensitiviti mereka dengan hal keadaan yang membimbangkan ini,” katanya.

Menurut beliau, pelbagai hujah dan alasan sengaja dicipta atas dasar rahmatan lil ‘alamin dan maqasid syariah untuk menyenangkan hati rakan politik merekaa yang bukan Islam dalam PH. – HARAKAHDAILY 15/6/2019

- Advertisement -