Agenda PH jauhkan wanita dari Islam

- Advertisement -

KUANTAN: Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh menyentuh beberapa kandungan utama melibatkan kemelut yang menghambat kesejahteraan wanita, keluarga dan masyarakat dalam ucapan dasar pada muktamar dewan itu, pagi ini.

- Advertisement -

Katanya, persoalan yang berbangkit pada hari ini, sejauh manakah wanita dihormati dan diperlakukan seadilnya sebagai seorang individu atau sekumpulan manusia yang memiliki hak dan tanggungjawab yang sama dengan kaum lelaki.

Beliau mempersoalkan sejauh mana polisi dan undang-undang yang ada memberikan perlindungan, mencegah dan menyelamatkan wanita daripada dicerobohi haknya.

Sejauh mana pula wanita mampu melaksanakan tanggungjawab dan memainkan peranan sebaik-baiknya dalam membawa kesejahteraan hidup pada diri, keluarga, masyarakat dan negara.

“Kita dapati pada hari ini, masih ramai wanita teraniaya dalam kehidupan berumahtangga. Keselamatan wanita dalam menjalankan tugas di sektor ekonomi tertentu dan bekerja syif malam masih boleh dipertikaikan.

“Wanita hari ini tidak berfungsi sebagai penjaga di rumah suaminya sehingga terpaksa menggalas tugas sebagai ketua rumahtangga,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan dasar Muktamar DMPM ke-59 di Bukit Gambang Resort City (BGCR).

Tambah beliau, kemuliaan wanita juga direndahkan sehingga diperalat atau sengaja membenarkan diri diperalatkan oleh nafsu materialisme, hedonisme, gejala seks rakus manusia yang berkepentingan dan segala bentuk pengaruh media yang tidak mengajak umat bertaqwa.

Akhirnya, katanya wanita diheret dalam kancah pertarungan mengejar habuan dunia yang sementara sehingga hilang fungsi sebagai hamba Allah dan khalifah.

“Dalam era globalisasi ini, kita dapati masih ada pemikiran bahawa wanita sinonim dengan lemah dan perlukan sandaran lelaki.

“Seolah-olah mereka dicipta Allah mesti bergantung sepenuhnya dengan kaum lelaki dalam lingkungan ikatan kekeluargaan tanpa perlu memikul sebarang tanggungjawab dan amanah sosial dan negara.

“Dalam masa yang sama, kita turut mengikuti perkembangan segelintir gerakan wanita atas nama perjuangan pembelaan wanita sejak sekian lama merempuh masuk dalam dunia Islam menerusi pengaruh perkembangan ideologi barat itu sendiri.

“Kita juga menyedari perjuangan yang bertunjangkan aqidah sekularisme, feminisme dan liberalisme acuan barat ini semakin agresif mahu menempah nama dalam penguasaan pemikiran masyarakat di negara ini.

“Kita juga memantau dari dekat hubungan yang sinonim gerakan ini dengan tokoh-tokoh pemimpin dalam PH atau sikap keterbukaan kerajaan PH sendiri terhadap aktiviti-aktiviti yang mereka lakukan.

“Malah, mereka disanjung atas nama Malaysia Baharu yang kononnya memberi sumbangan terbaik untuk membela kaum wanita, akibat kelemahan tafsiran terhadap hukum-hukum Islam berkaitan wanita,” tambah beliau.

Namun pada hakikatnya mereka adalah pendukung pemikiran Barat yang mempunyai agenda menjauhkan kaum wanita daripada petunjuk ajaran Islam yang sebenar dan tidak sesuai dengan konteks budaya masyarakat Malaysia. – HARAKAHDAILY 15/6/2019

- Advertisement -