PAS Bukit Mertajam anjur Ceramah Raya

- Advertisement -
BUKIT MERTAJAM: PAS Kawasan Bukit Mertajam telah menganjurkan program Ceramah Raya bertempat di Tapak Korban PAS Kampung Kijang, di sini, kelmarin.
 
Program dimulakan dengan ceramah oleh Yang Dipertua PAS Bukit Mertajam, Norazman Ishak yang membangkitkan isu Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR)
 
Menurut beliau, projek tersebut memberi kesan amat buruk untuk jangka masa yang panjang terutama terhadap bukan sahaja kehidupan manusia dan sumber laut, tetapi juga alam sekitar.
 
“Berikutan dengan itu, kemusnahan alam sekitar sangat jelas kelihatan, di samping para nelayan hilang punca pendapatan,” ujarnya membidas projek oleh Kerajaan DAP itu.
 
Beliau yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya III PAS Negeri Pula u Pinang turut menyatakan kekesalan dengan kerajaan negeri yang tidak serius dalam menangani isu ini.
 
Sementara itu, penceramah jemputan dari PAS Kawasan Baling, Ustaz Zamree Che Teh pula menyentuh peringatan supaya seluruh ahli PAS memperkasa tauhid dan akidah perjuangan.
 
Dalam pada itu, Adun Penaga, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah dalam ucapannya melahirkan rasa khuatir terhadap nasib generasi masa hadapan sekiranya tampuk pemerintahan masih lagi tidak berpaksikan Islam.
 
“Kita perlu lebih peka dan celik kepada politik, tolak kerajaan PH kerana terlalu banyak kepincangan yang berlaku antaranya berbohong kepada rakyat,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 14/6/2019
- Advertisement -