Anak muda PAS jangan terheret politik jijik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menyeru kepada semua anak muda khususnya ahli PAS supaya tidak terheret sama dalam politik kotor.

- Advertisement -

Beliau menegaskan agar tidak menyebarkan video yang tidak sahih akan kebenarannya kerana dibimbangi akan menjerumuskan kepada kesalahan menuduh berzina dan melakukan perbuatan seks tanpa bukti.

“Hal ini merupakan politik yang tidak beretika dan politik jijik yang patut dijauhi pada hari ini.

“Soal kesahihan dan sebagainya itu kita serahkan kepada pihak yang berwajib untuk menentukannya,” ujarnya.

Bagaimanapun, di dalam Islam kita tegaskan prinsip bahawa mana-mana pihak yang menuduh orang lain berzina tanpa empat orang saksi yang adil adalah dikira sebagai perbuatan yang qazaf.

Dalam hal ini, katanya Presiden PAS telah menulis satu buku berkenaan dengan qazaf ketika isu melibatkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dahulu.

Prinsip tersebut, jelasnya kekal sehingga ke hari ini sekalipun Anwar begitu memusuhi PAS namun PAS masih kekal dengan prinsip bahawa seseorang itu tidak boleh dinyatakan bersalah selagi tidak ada bukti sebagai bersalah.

“Justeru saya berharap agar semua anak muda untuk tidak terheret dengan politik jijik seperti ini.

“Haruslah bersikap matang sesuai dengan prinsip Islam untuk menjauhi perkara yang boleh menjerumuskan kita ke dalam dosa besar,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 14/6/2019

- Advertisement -