Sokong ketegasan PM tidak ekstradisi Dr Zakir

- Advertisement -

DEWAN Ulamak PAS Negeri Selangor (DUPNS) menyeru umat Islam menyokong tindakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang bertegas tidak mengekstradisikan pendakwah terkenal antarabangsa, Dr Zakir Naik.

- Advertisement -

rizuanDUPNS dengan ini menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan yang diambil Perdana Menteri Malaysia walaupun dalam masa yang sama ia ditentang kabinet menteri Pakatan Harapan (PH).

DUPNS melahirkan kebimbangan jika Dr Zakir Naik diekstradisi ke India, maka pendakwah terkenal itu tidak mendapat keadilan di sana. Terdapat kajian sebuah kumpulan hak asasi manusia yang berpusat di New York, Human Rights Watch yang mendakwa 44 orang telah terbunuh akibat daripada tindakan ganas berkaitan dengan isu lembu di India angkara persepsi yang dibina kononnya orang Islam menghina penganut hindu dalam kepercayaan mereka berkaitan lembu.

Menurut kajian tersebut yang diambil dalam jangka masa Mei 2015 hingga Disember 2018, 36 daripada 44 orang jumlah kes bunuh adalah terdiri daripada penganut agama Islam. Kajian tersebut telah merekodkan lebih 280 orang dilaporkan cedera dalam lebih kurang 100 serangan sepanjang tempoh tersebut.

Terkini, Direktorat Penguatkuasaan India (ED) dilaporkan dalam usaha mendapat waran tangkap antarabangsa terhadap Zakir yang kini tinggal di Malaysia. Dr Zakir Naik dikehendaki pihak berkuasa India untuk menjalani perbicaraan yang sedang berlangsung di Mumbai di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2002 negara itu.

Berdasarkan dapatan kajian dan situasi di India sejak sekian lama, DUPNS berpandangan ektradisi ini tidak akan memberi keadilan terhadap Dr Zakir Naik. Sehubungan itu, kami menyokong penuh pendirian tegas PM dalam isu ini dan amat mengharapkan keputusan ini kekal selain dihormati oleh kabinet PH serta ahli-ahlinya.

Istiqamah Menuju Kemenangan

USTAZ RIZUAN RAHMAT
Ketua Dewan Ulamak PAS Selangor
12 Jun 2019/8 Syawal 1440 – HARAKAHDAILY 12/6/2019

- Advertisement -