Layanan tersendiri bagi Indian Muslim

SubkyLatif
- Advertisement -

TULISAN hari terakhir bulan Ramadan ini ialah perjumpaan wakil kumpulan Indian Muslim dengan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee tentang peluang dan layanan terhadap komuniti itu dalam dunia pendidikan khususnya kuota matrikulasi.

- Advertisement -

Siapa dia masyarakat Indian Muslim yang ada hari ini dari mana akar mulanya? Adakah mereka yang datang sejak kedatangan Inggeris dulu atau tiba waktu tertentu sebelum dan selepas merdeka?

Masa saya kanak-kanak sekitar 70 tahun dahulu ada seorang bernama Mat Keling. Saya kenal anak-anaknya dan cucu-cucunya. Saya tanya cucunya baru-baru ini. Adakah Mat Keling dulu asalnya Islam atau Islam sesudah di sini?

Jawabnya di sini dia memeluk Islam. Kahwin dengan orang Melayu. Mat Keling itu kami tahu dia keturunan India kerana kulitnya hitam pekat dan kerana keturunannya mewarisi kulitnya. Tetapi kehidupannya dan pergaulan dia adalah orang Melayu. Anak-anaknya walaupun berwajah India tidak jadi bukan Melayu bahkan dapat layanan hak istimewa Melayu.

Mereka bersekolah Melayu dan sekolah kebangsaan, bercakap Melayu dan berkebudayaan Melayu, apa lagi beragama dengan agama orang Melayu jadi Melayu semuanya.

Baru-baru ini kita membaca berita kematian Almarhum SM Idris pengasas dan pemimpin CAP – Persatuan Pengguna Pulau Pinang. Dia lahir di India. Dia ada adik dan ramai anak saudara di sini wajah masing-masing DKK. Dia saja yang diketahui Indian Muslim, tetapi saudara maranya jadi Melayu keturunan India.

Populasi mereka penuh di Pulau Pinang tetapi semuanya macam orang Melayu. Ramai yang masuk Umno dan yang berkeluarga Mamak dan bercakap bahasa Mamak, 40 tahun dulu jadi Adun Umno. Umno itu dikatakan pekat semangat Melayunya, dan parti oang Melayu terima mereka jadi Umno.

Semua tahu datuk Dr. Mahathir orang India. Ada yang kata dia keluarga Kutti. Tetapi tiada siapa kata dia Indian Muslim. Keluarganya di Kedah semua jadi Melayu dan dapat hak istimewa Melayu. Mereka sudah jadi sebahgian dari bangsa Mlayu sama seperti Banjar, Jawa, Bugis, Batak dan lain-lain.

Kehidupan dan pergaulan hari-harinya adalah bersama Melayu, memenuhi surau dan masjid. Pada hari raya haji mereka sama-sama melapah daging korban. Bila mereka kaya dikira Melayu kaya dan yang miskin seperti Melayu miskin yang ramai itu.

Seperti Banjar dan Jawa ada kebanggaan Banjar dan Jawanya, mereka pun ada kebanggaan Indianya walau ia tidak beri apa-apa kelebihan.

Mereka tidak peka sangat dengan kelab sendiri. Bila Jawa hendak berpolitik mereka jadi PAS dan Umno. Begitu juga Banjar. Maka ramai keturunan Mamak itu masuk Umno. Yang tidak masuk Umno hanya Almarhum Tan Sri SOK Ubaidullah. Dia jadi pemimpin MIC. Kerana dia Islam banyak yang Melayu dapat. Anaknya nampak macam orang Melayu.

Kalau keturunan India dulu, kerana Islam mereka diterima jadi Melayu, apa sebab ada antara mereka sekarang hendak kekal sebagai India Muslim ada parti politik sendiri dan macam-macam kelab sendiri.

Kita tidak berhajat dalam keadaan sekarang mahu menghapuskan darah keturunan semua kaum yang ada. Biarlah Cina dengan Cinanya dan India dengan Indianya, tetapi India Muslim sejak beberapa generasi kerana Islamnya diterima dalam masyarakat Islam, mengapa mahu kelab sendiri.

Cina itu dan India non-Muslim ada halangan agama, payah mereka hendak jadi Melayu. Tapi India Muslim tidak sulit sangat untuk jadi Melayu. Bila bersama Melayu tidak banyak masalah peluang 90 peratus kuota matrikulasi. Beribu Bangla cari peluang jadi Melayu. – HARAKAHDAILY 12/6/2019

- Advertisement -