Mesyuarat agung pertama mula langkah politik PAS

- Advertisement -

KEMUNCULAN PAS di pentas politik tanah air adalah bertolak daripada kemahuan para ulamak yang mahukan satu pergerakan politik berasaskan Islam diwujudkan untuk memperjuangan seluruh kepentingan agama. Transit para ulamak di dalam Umno selepas British melumpuhkan Hizbul Muslimin ternyata tidak bertahan lama, kerana dasar Umno yang tidak dapat memenuhi hasrat politik para ulamak. Atas sebab itu, ulamak bertindak menubuhkan persatuannya sendiri pada 23 Ogos 1951. Persatuan yang kemudiannya dinamakan sebagai Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) ini, pada awalnya lebih terfokus kepada usaha penyatuan pentadbiran agama.

- Advertisement -

Fadli2Ramai pengkaji mengatakan PAS ditubuhkan sebagai sebuah badan kebajikan Islam, tetapi bertukar menjadi parti politik ketika Undang-undang Tubuh PAS 1951 digubalkan. Sebenarnya, sebahagian ulamak yang terlibat secara langsung dalam penubuhan PAS mahu persatuan ini menjadi parti politik, begitu juga dengan umat Islam yang bersuara di media-media cetak, mendesak para ulamak menubuhkan sebuah parti politik berasaskan Islam seperti Masyumi di Indonesia untuk menggantikan Hizbul Muslimin. Bahkan para ulamak sendiri membuat desakan-desakan kepada persidangan ulamak di Kuala Lumpur supaya menubuhkan parti politik Islam untuk kepentingan umat. Tokoh-tokoh bekas Hizbul Muslimin adalah yang paling keras berusaha menjadikan PAS sebuah pertubuhan politik Islam.

Dari kegiatan kebajikan kepada pergerakan politik Islam

Sebaik sahaja kepemimpinan PAS dibentuk pada 24 November 1951, dalam tempoh setahun sehingga akhir Disember 1952, fokus pergerakan PAS boleh dikatakan bersifat kebajikan dan menyelesaikan isu khilafiyah agama yang timbul dalam masyarakat. Antara langkah progresif PAS ialah memperkasakan pendidikan Islam dengan menganjurkan perjumpaan sekolah-sekolah agama rakyat bagi menyatukan kurikulum pendidikan dan mewujudkan dana sekolah agama rakyat. PAS turut menangani isu-isu khilafiyah yang memecahkan umat sehingga PAS menganjurkan satu muzakarah ulamak pada awal 1953.

Di sebalik usaha-usaha ini, PAS sebenarnya mulai melangkah ke alam politik kerana Umno sendiri melihat PAS sebagai saingannya. Polemik-polemik yang ditimbulkan oleh pemimpin Umno tentang kewajaran penubuhan PAS telah membantu PAS bergerak ke tengah medan politik. Lebih menarik lagi, apabila PAS berusaha mewujud sekurang-kurangnya 20 buah cawangan dalam masa setahun, selain menubuhkan lajnah-lajnah yang dinamakan sebagai Dewan Ulamak PAS, Dewan Pemuda Islam dan Dewan Muslimat PAS pada 2 April 1952. Kemajuan PAS dalam politik ini telah memaksa Umno mengaku sebagai sebuah “parti politik Islam” juga.

Mesyuarat Agung membawa PAS alam politik

Pada 3 Januari 1953 bersamaan 16 Rabiul Awal 1372, PAS telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Pertama bertempat di Madrasah ad-Daerat al-Maarif al-Wathaniyah, Kepala Batas, Seberang Perai. 13 buah cawangan PAS telah hadir menjayakan muktamar ini, di mana 19 orang perwakilan dan 13 orang Ahli Jawatankuasa Kerja PAS telah hadir. 19 resolusi telah diputuskan oleh muktamar ini melibatkan hal-hal kebangkitan gerakan politik PAS, pengukuhan organisasi PAS, program kebajikan PAS dan juga isu-isu umat Islam semasa.

Dalam usaha memajukan penglibatan PAS dalam politik, tiga resolusi utama telah berjaya diambil, iaitu:

1) mengukuhkan organisasi politik PAS dengan menubuhkan sayap-sayap perjuangan PAS iaitu Dewan Ulamak PAS, Dewan Pemuda PAS dan Dewan Muslimat PAS. PAS turut memperkasakan struktur organisasi cawangan-cawangannya, dan mengubah nama jawatan pemimpin utama PAS dari ‘Yang Dipertua PAS’ kepada ‘Yang Dipertua Agung PAS;’

2) PAS mewujudkan simbol-simbol politiknya dengan menjadikan “Merdeka” sebagai slogan PAS, dan menjadikan bendera Sang Saka Merah Putih dengan bulatan hijau bertulis “Allah Muhammad” di penjuru kiri atas sebagai panji-panji rasmi PAS; dan

3) Meluluskan “Program Politik PAS,” iaitu sebuah frame work politik PAS. Program ini mengandungi tujuh perkara iaitu (1) berusaha untuk memperkenalkan kepada rakyat akan kemerdekaan dan menanamkan semangat kemerdekaan kepada mereka, (2) berusaha memperkenalkan demokrasi sejati kepada rakyat, (3) mengatur peranan Dewan Ulamak PAS dan Dewan Pemuda PAS untuk menggerakkan perjuangan kemerdekaan dan perlaksanaan Islam, (4) memperkenalkan PAS sebagai badan politik Islam di Malaya kepada dunia Islam, (5) berikhtiar memperkenalkan syiar Islam, (6) berikhtiar mendirikan negara merdeka berasaskan demokrasi, dan (7) mencadangkan kemerdekaan Malaya di bawah Komanwel British.

Dengan beberapa ketetapan yang diputuskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Pertama ini, maka PAS melangkah ke hadapan dalam mengorak tindakan politiknya. Antara fokus utama PAS ialah memperjuangkan kemerdekaan melalui tuntutan pilihan raya segera ke arah berkerajaan sendiri. Atas asas ini, PAS telah memulakan politik akomodasi dengan menyertai kerjasama-kerjasama dengan parti-parti lain bagi tujuan tersebut. PAS telah menyertai National Conference, Persidangan Pertubuhan-pertubuhan Melayu dan National Convention sepanjang 1953, selain turut membuat garis kasar model negara yang diperjuangkan yang disebut sebagai ‘Perlembagaan Malaya.’ Ekoran pergerakan aktif PAS dalam politik ini, PAS berjaya menampilkan dirinya setaraf dengan parti-parti politik yang lain, dan mulai membina pengaruh dalam masyarakat.

MOHD FADLI GHANI
Head House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS – HARAKAHDAILY 11/6/2019

- Advertisement -