Iktibar Fathu Makkah

- Advertisement -

ANTARA peristiwa Ramadan yang tidak harus dilupakan oleh umat Islam walaupun telah berlalunya, adalah Fathu Makkah yang bermaksud pembebasan Makkah daripada kuasa jahiliah. Peristiwa paling bersejarah kepada umat Islam dan umat manusia yang berlaku pada tanggal 20 Ramadan Tahun ke-8 Hijrah, bersamaan 10 Januari tahun 630 Masihi.

- Advertisement -

Makkah dirasmikan oleh Nabi Ibrahim A.S. yang disanjung oleh agama-agama besar, bukan sahaja Islam tetapi juga agama samawi yang lain seperti Yahudi dan Kristian, termasuk agama musyrikin menyembah berhala. Sanjungan terhadap Nabi Ibrahim A.S. mengikut kepercayaan masing-masing dan disebut dengan bahasa masing-masing, di dalam kitab agama masing-masing.

Umat Islam menyebut Ibrahim dan ada qiraat menyebut Abaraham, seperti yang disebutkan oleh pihak lain, dan ada yang menyebutnya Brahma dan dipercayai salah satu tuhan-tuhan yang dipujanya.

Bagi penganut Islam tetap beriman kepada Al-Quran yang menegaskan firman Allah:

مَا كَانَ إِبْرَاهِيمُ يَهُودِيًّا وَلَا نَصْرَانِيًّا وَلَٰكِن كَانَ حَنِيفًا مُّسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ (67) إِنَّ أَوْلَى النَّاسِ بِإِبْرَاهِيمَ لَلَّذِينَ اتَّبَعُوهُ وَهَٰذَا النَّبِيُّ وَالَّذِينَ آمَنُوا وَاللَّهُ وَلِيُّ الْمُؤْمِنِينَ (68)

“Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang penganut agama Yahudi, dan bukanlah juga seorang penganut agama Kristian, tetapi dia seorang yang tetap di atas dasar tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan bukanlah juga daripada orang-orang Musyrikin (penyembah tuhan selain Allah) (67); Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim (dan berhak mewarisi kepercayaannya) ialah orang-orang yang mengikutinya dan juga Nabi (Muhammad) ini serta orang-orang yang beriman (umat-umat Islam). Dan (ingatlah), Allah ialah Pelindung dan Penolong sekalian orang-orang yang beriman”. (68) (Surah Ali ‘Imraan: 67-68)

Al-Quran menceritakan Nabi Ibrahim A.S. membuka bumi Makkah yang menjadi ibu atau permulaan ciptaan bumi, lalu diberi gelaran Ummu Al-Qura (ibu segala kampung atau negeri) yang dibuktikan hari ini oleh kaji selidik para saintis dari segi ketuaan batu dan tanahnya.

Di Makkah, Nabi Ibrahim A.S. diperintahkan membina Kaabah yang dijadikan kiblat kepada umat Rasul akhir zaman yang didoakan kelahirannya. Kaabah itu bagi menyatukan hala tuju dan arah menghadap ketika beribadat, bukannya batu Kaabah itu disembah. Haram menghadap ke arah batu Kaabah kalau dicabut batunya itu dan dipindah ke mana-mana sahaja.

Makkah bumi suci yang ditunaikan ibadah haji sejak zaman nabi-nabi dahulu, diriwayatkan ada yang pernah mengunjunginya. Menandakan kesatuan agama nabi-nabi bersama Islam. Inilah kepercayaan umat Islam mengikut Al-Quran yang melaporkan doa Nabi Ibrahim A.S. dan wasiatnya berkenaan satu-satunya agama yang dianut:

رَبَّنَا وَابْعَثْ فِيهِمْ رَسُولًا مِّنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِكَ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَيُزَكِّيهِمْ إِنَّكَ أَنتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ (129) وَمَن يَرْغَبُ عَن مِّلَّةِ إِبْرَاهِيمَ إِلَّا مَن سَفِهَ نَفْسَهُ وَلَقَدِ اصْطَفَيْنَاهُ فِي الدُّنْيَا وَإِنَّهُ فِي الْآخِرَةِ لَمِنَ الصَّالِحِينَ (130) إِذْ قَالَ لَهُ رَبُّهُ أَسْلِمْ قَالَ أَسْلَمْتُ لِرَبِّ الْعَالَمِينَ (131) وَوَصَّىٰ بِهَا إِبْرَاهِيمُ بَنِيهِ وَيَعْقُوبُ يَا بَنِيَّ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَىٰ لَكُمُ الدِّينَ فَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ (132)

“(Ibrahim berdoa): “Wahai Tuhan kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (Al-Quran) serta hikmah kebijaksanaan (sunnah) dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”. (129); Tiada orang yang membenci agama Nabi Ibrahim selain dari orang yang membodohkan dirinya sendiri, kerana sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim (menjadi Nabi) di dunia ini; dan sesungguhnya dia pada Hari Akhirat kelak tetaplah dari kalangan orang-orang yang soleh yang (tertinggi martabatnya). (130); (Ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya: “Serahkanlah diri (kepadaKu wahai Ibrahim)!”. Nabi Ibrahim menjawab: “Aku serahkan diri (tunduk taat menjadi Islam) kepada Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”. (131); Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: “Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam”. (132) (Surah Al-Baqarah: 129-132)

Oleh itu, adalah menjadi kewajipan para agamawan masing-masing dan penyelidik perbandingan agama, meneliti mencari kebenaran secara jujur, namun Islam tetap berpegang kepada konsep tiada paksaan dalam menganut agama.

Adapun tindakan membebaskan Makkah oleh Nabi Muhammad S.A.W. adalah kewajipan kerasulannya dan tanggungjawab kepada kaum keluarga, bangsa dan tanah airnya sendiri. Tindakan penuh akhlak mulia berkesopanan yang menjadi contoh dan teladan dengan hidayah Allah yang Maha Rahmat dan Adil terhadap semua. Makkah dimerdekakan daripada penjajahan jahiliah bangsa Arab sendiri, bangsa Nabi dan keluarganya, bukannya penjajah asing.

Bermula dengan dakwah Nabi Muhammad S.A.W. secara aman dan hujah berfikir dengan akal sendiri. Namun, mereka yang fanatik itu bertindak dengan zalim, sehingga menyeksa kalangan yang beriman, bahkan ada yang dibunuh dengan kejam kerana keIslamannya, bukan kerana buruk akhlak dan jahatnya terhadap orang lain. Tindakan itu dianggap sebagai sifat mulia yang luar biasa oleh masyarakat pada zaman itu yang paling kejam berkonsepkan undang-undang jakun, bahkan lebih ganas daripada binatang tanpa akal, sehingga adatnya membunuh anak perempuan yang dilahirkan kerana tidak berguna untuk berperang.

Hanya segelintir penduduk Makkah menerima Islam, kerana kebanyakan mereka takutkan kebenaran, walaupun Allah menunjukkan keberkatan dan keamanan yang luar biasa datang daripadaNya. Dikisahkan ucapan mereka oleh firman Allah:

وَقَالُوا إِن نَّتَّبِعِ الْهُدَىٰ مَعَكَ نُتَخَطَّفْ مِنْ أَرْضِنَا أَوَلَمْ نُمَكِّن لَّهُمْ حَرَمًا آمِنًا يُجْبَىٰ إِلَيْهِ ثَمَرَاتُ كُلِّ شَيْءٍ رِّزْقًا مِّن لَّدُنَّا وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ (57)

“Dan mereka (yang kafir) berkata: “Kalau kami menyertaimu (wahai Muhammad), menurut petunjuk yang engkau bawa itu, nescaya kami dengan serta merta ditangkap dan diusir dari negeri kami (oleh golongan yang menentang)”. Mengapa mereka (berkata demikian)? Bukankah kami telah melindungi mereka dan menjadikan (negeri Makkah) tempat tinggal mereka sebagai tanah suci yang aman, yang dibawa kepadanya hasil tanaman dari segala jenis, sebagai rezeki pemberian dari sisi kami? (Benar, kami telah menjadikan semuanya itu), tetapi kebanyakan mereka tidak memikirkan perkara itu untuk mengetahuinya (serta bersyukur)”. (Surah Al-Qasas: 57)

Apabila Islam diterima oleh penduduk Yathrib yang mendapat maklumat daripada kaum Yahudi ahli kitab, tentang berita kedatangan Rasul akhir zaman. Berlaku dan tegaknya negara yang dinamakan Madinah yang mendaulatkan Islam. Ternyata adilnya terhadap semua dan mengajak semua pihak menerima Islam atau tidak bermusuh. Tiba-tiba mereka memilih bermusuh dan berperang. Walaupun demikian perdamaian tetap menjadi keutamaan.

Fathu Makkah bermula dengan pihak yang berkuasa di Makkah menghalang Rasulullah S.A.W. dan para sahabatnya datang menunaikan umrah yang masih diberi kebebasan kepada sesiapa sahaja mengikut hukum agama dan adat terdahulu. Kedatangan Baginda S.A.W. atas urusan ibadat bukannya berperang, namun dihalang dengan menunjukkan kekerasan.

Apabila dilakukan perundingan, maka dimeteraikan perdamaian yang dinamakan Hudaibiyyah, bersempena nama tempat berlakunya peristiwa tersebut. Diakur segala syarat, walaupun kelihatan nyatanya tidak adil terhadap Islam dan penganutnya, sehingga dipaksa menangguhkan ibadah umrahnya setahun kemudian, walaupun sudah berpakaian ihram yang terpaksa ditanggalkan dengan membayar dam (denda) dan syarat-syarat yang kelihatan sangat berpihak kepada musuh itu. Segala-galanya diterima kerana konsep perdamaian itu didahulukan, walaupun merisaukan para sahabat R.A., namun wala’ dan taat kepada Allah dan Rasul wajib diutamakan.

Perjanjian yang dilihat begitu rupa diterima dengan tujuan menuntut keredhaan Allah dan RasulNya kerana Allah berfirman:

وَإِن جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ (61)

“Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”. (Surah Al-Anfaal: 61)

Sebenarnya politik itu bukan sahaja yang tersurat, tetapi banyak perkara yang tersirat, yang hanya difahami oleh pemimpin dan tidak difahami oleh pengikut. Hasil ternyata daripada perjanjian itu adalah meningkatnya jumlah mereka yang masuk Islam berlipat kali ganda, apabila besarnya jumlah penyertaan kerahan tenaga yang dilakukan untuk operasi perang itu, walaupun dirahsiakan tanpa diketahui ke mana arah hala tujunya.

Apabila perjanjian dikhianati dan perdamaian dicabul, maka Rasulullah S.A.W. melakukan operasi menawan Makkah dengan arahan persediaan penuh kerahsiaan dan tidak diketahui ke mana arahnya.

Rasulullah S.A.W. berdoa kepada Allah supaya disembunyikan tujuannya, seterusnya bertindak menghantar pasukan peninjau ke arah yang lain daripada Makkah untuk mengelirukan musuh. Sehingga para keluarga dan sahabat yang terdekat hanya menerima arahan bersiap, tanpa diketahui bahawa tujuannya menyerang Makkah.

Namun, pengkhianatan kaum Musyrikin Makkah sudah diketahui umum, apabila datangnya pemimpin Kabilah Khuza’ah yang bernaung di bawah kerajaan Islam, menceritakan bahawa mereka telah diserang oleh Kabilah Bani Bakar yang menjadi rakan sekutu para pemimpin Makkah, menyebabkan seorang sahabat bernama Hatib bin Abi Baltaah R.A. mengutus surat kepada Makkah melalui seorang wanita, kerana tujuannya bagi menyelamatkan keluarganya di sana. Perkara ini dilaporkan oleh Allah yang Maha Mengetahui kepada Rasulullah S.A.W., lalu ditugaskan dua sahabat (Saidina Ali dan Az-Zubair R.A.) mengejar wanita itu dan merampas suratnya.

Akhirnya Makkah ditawan tanpa melawan dan tidak berperang, kerana musuh tidak mendapat maklumat kedatangan bala tentera Islam. Sebaik sahaja selesai perintah berkurung bagi mewujudkan keamanan, Rasulullah S.A.W. mengisytiharkan pengampunan beramai-ramai, hanya beberapa pemimpin yang disenaraikan penjenayah perang, namun sebahagian besarnya diberi pengampunan dan kemaafan, berakhir dengan mereka masuk Islam tanpa paksaan. Tegasnya Islam mendahulukan konsep menyelamatkan manusia seramai-ramainya, bukannya menghukum sebanyak-banyaknya.

Di sinilah terdapat perbezaan antara sejarah kemenangan Islam di Makkah dibandingkan dengan sejarah revolusi Barat dan Komunis yang sangat dibanggakan itu dari segi jumlah yang besar mangsa hukuman dendam mencecah ratusan ribu, termasuk harta yang dirompak dan maruah yang dicabul, mungkin ada yang mencapai jutaan. Maka janganlah terlalu mudah melemparkan tuduhan fitnah terhadap Islam. Cermin diri kamu dahulu secara jujur.

“Islam Memimpin”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 5 Syawal 1440 / 9 Jun 2019 – HARAKAHDAILY 9/6/2019

- Advertisement -