Integriti, pelajaran terpenting Ramadan

- Advertisement -

JIKA ada suatu nilai yang dibentuk sepanjang berpuasa di bulan Ramadan, itulah Integriti.

- Advertisement -

Ramadan sebagai bulan yang diwajibkan berpuasa mempunyai hikmah dan rahsianya tersendiri.

Dengan berpuasa, kita diwajibkan untuk menahan diri daripada makan dan minum serta mengawal hawa nafsu pada siang hari dengan ikhlas, bertujuan untuk memperolehi darjat taqwa di sisi Allah SWT.

Puasa di bulan Ramadan melatih diri menjadi orang yang bersabar, tabah hadapi ujian serta bermujahadah melawan kehendak nafsu sama ada dilihat atau ketika tersembunyi.

Puasa di bulan Ramadan juga melatih diri menjadi orang yang bersyukur, cermat dalam berbelanja, menghargai setiap pemberian serta pemurah berkongsi rezeki.

Puasa di bulan Ramadan turut melatih diri menjadi orang yang berdisiplin, sentiasa menepati waktu dan berwaspada daripada larangan yang boleh membatalkan puasa di siang hari.

Dalam hal ini, puasa menekankan kepentingan ‘Ihsan’ sebagai pencapaian tertinggi dalam ibadah seorang hamba. Sabda Rasulullah SAW (maksudnya): “Berkata Dia (Jibril): Beritahu kepadaku tentang Ihsan? (Rasulullah SAW) bersabda: (Ihsan ialah) kamu mengerjakan ibadah kepada Allah SWT seolah-olah kamu melihatNya, sekiranya kamu tidak dapat melihat-Nya, sesungguhnya Dia (Allah) melihat kamu” (Riwayat Muslim).

Justeru pencapaian ‘Ihsan’ sangat berkait-rapat dengan budaya Integriti di dalam diri dan masyarakat.

Kualiti ini menjadikan hati merasai bahawa setiap tindakan kita sentiasa diperhati dan diawasi, seterusnya mendorong untuk melakukan apa yang diperintah oleh Allah dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya.

Ini kerana budaya Integriti bukan sahaja diukur dengan kejayaan membanteras rasuah, tidak pecah amanah atau tidak memungkiri janji, namun lebih penting daripada itu adalah ‘pengawasan diri dan masyarakat’ yang dibudayakan daripada melakukan kemungkaran ketika terang mahupun tersembunyi.

Inilah pelajaran terpenting di bulan Ramadan kepada diri, organisasi, masyarakat dan negara yang sedang berhadapan dengan krisis Integriti yang meruncing.

Semoga Integriti akan terus ‘berpuasa’ walaupun Ramadan sudah berlalu pergi.

Firman Allah SWT (maksudnya): “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat ihsan (kebaikan), serta memberi bantuan kepada kaum kerabat, dan melarang daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya” (An-Nahlu: 90)

SYAHIR SULAIMAN
Pengarah Strategi DPPM
2 Syawal 1440 – HARAKAHDAILY 6/6/2019

- Advertisement -