Apologetik: Jangan lunturkan nilai penghayatan Islam

- Advertisement -

BERPEGANG teguh dengan Islam dan setiap sendi syariatnya bukanlah dinilai sebagai taksub. Sebaliknya ia disebut sebagai “Mutamassik Biddiin” (متمسك بالدين) atau “kemah keming” dengan Islam.

- Advertisement -

Nabi SAW menegaskan supaya kita genggam seerat-eratnya syariat dan sunnahnya dengan menggunakan gigi geraham agar tidak terlepas dan tercabut dari pegangan kita.

‎فَعَلَيْكُم بسنتي وّسُنَّةِ الخلفاءِ الراشدين المهديين، عَضُّوا عليها بالنَّواجِذ

“Maka wajib ke atas kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah Khulafa’ Ar Rasyidin yang mendapat petunjuk. Genggamlah sunnah itu seerat-eratnya dengan geraham kamu.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad, Tirmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah)

Usahkan Cabut, Lunturkannya Pun Jangan Sesekali Jangan

Sebagai seorang muslim, jangan pernah malu untuk mempraktikkan amalan hidup Islam dalam kehidupan harian kita. Jauh sekali rasa bersalah. Meskipun difitnah dan dipersenda saban waktu oleh musuh Islam.

Serlahkan cara hidup Islam di bumi bertuah ini dan jangan sekali-kali apologetik untuk melakukannya.

a) Jangan rasa rendah diri dan hina untuk amalkan kewajipan Islam sehingga terpaksa mendapat izin atau restu bukan Islam terlebih dahulu untuk melaksanakan suruhan agama sendiri.

b) Jangan kerana bimbangkan penentangan dari golongan bukan Islam, maka kita tidak melakukan apa yang diperintah oleh Allah SWT.

c) Jangan kerana takut kehilangan sokongan atau undi golongan bukan Islam, maka kita tidak berani untuk meninggikan syariat dan syiar agama Allah SWT.

Bangga Dengan Islam

Jangan malu untuk mengaku muslim dan menzahirkan pengakuan tersebut.

Jangan ubah suai Islam dengan pelbagai istilah dan tindakan (seperti menukar Islam kepada Islam Moderat) , kononnya supaya golongan bukan Islam boleh menerima Islam.

Sebaliknya usahakan agar golongan bukan Islam ini boleh menerima Islam yang asal (tulen). Justeru Islam itu adalah Islam.

Tiada Islam Moderat, Islam Progresif dan lainnya kerana sifat utama Islam itu ialah sesuai untuk semua zaman dan tempat.

Islam adalah cara hidup yang diwahyukan oleh Allah SWT supaya kita mengikut pedomannya.

Kita tiada authoriti untuk meminda Islam agar sesuai dengan cara dan pendirian hidup kita, sebaliknya kita yang wajib sesuaikan diri untuk mengikut cara Islam.

Dakwah Itu Mengajak Bukan Diajak

Ingat, sememangnya kita diajar untuk menyampaikan dakwah kepada semua termasuk non-muslim. Namun makna dakwah itu ialah mengajak pihak lain menyertai kita, bukan kita menyertai mereka atas nama dakwah.

Dekatilah semua pihak termasuk golongan non-muslim itu dengan bijak dan berwibawa, namun jangan sampai kita melunturkan nilai agama dan melonggarkan pegangan kita terhadap agama sendiri semata-mata mengharapkan orang menerima kita.

Ingat pesan Nabi SAW mendepani suasana akhir zaman ini:

‎ﻳَﻤْﺮُﻗُﻮﻥَ ﻣِﻦْ ﺍﻟْﺈِﺳْﻠَﺎﻡِ ﻛَﻤَﺎ ﻳَﻤْﺮُﻕُ ﺍﻟﺴَّﻬْﻢُ ﻣِﻦْ ﺍﻟﺮَّﻣِﻴَّﺔِ ﻟَﺎ ﻳُﺠَﺎﻭِﺯُ ﺇِﻳﻤَﺎﻧُﻬُﻢْ ﺣَﻨَﺎﺟِﺮَﻫُﻢْ

“Mereka lepas dari Islam sebagaimana lepasnya anak panah dari busurnya, iman mereka tidak sampai ke tenggorokan.” (Riwayat Imam Bukhari)

Islam Memimpin

NASRUDIN HASSAN
Ketua Penerangan PAS Pusat
30 Ramadhan 1440 | 4 Jun 2019 – HARAKAHDAILY 4/6/2019

- Advertisement -