Assabiqun teladan payungi agenda kebajikan PAS

- Advertisement -
KALAU mahu melihat golongan AsSabiqun yang aktif dalam kerja-kerja amal dalam kalangan ahli PAS di Teluk Intan, carilah di Cawangan Taman Seri Setia.
 
Hampir 90 peratus tenaga penggeraknya adalah warga emas yang kebanyakannya pesara guru dan penjawat awam. Ada yang usianya hampir mencecah 80 tahun.
 
Mereka ini dari segi fizikalnya sudah lemah. Kalangan Muslimat Cawangan ini ada yang bergerak menggunakan tongkat. Namun atas kesedaran dan keyakinan terhadap hala tuju perjuangan, hasil dari tarbiah yang berterusan, mereka tetap bersemangat menggerakkan PAS Cawangan ini dengan kegiatan kebajikan mengikut kadar kemampuan yang ada.
 
Hatta terkadang, dalam paras yang jelas sudah dimamah usia, mereka tetap menatijahkan suntikan ke atas gerak kerja parti. Setidak-tidaknya membuatkan yang lebih muda malu alah, lalu terjanalah perjalanan urusan jamaah sebagaimana tanggungjawab seharusnya berjalan. Mereka ibarat kunci menghidupkan jentera teknologi yang besar dan gagah.
 
Kelmarin, mereka melakukan kerja amal di penghujung Ramadan. Menyantuni anak-anak yatim dari Rumah Kebajikan Titian Ashraful Rohaniah Kampung Selabak Luar, Teluk Intan.
 
Anak yatim berusia seawal lima hingga tujuh belas tahun telah dibawa membeli belah busana raya di pasaraya Arked Man di bandar Teluk Intan bagi menceriakan mereka menjelang lebaran yang bakal tiba. Misi kebajikan ini dipimpin oleh Ketua PAS Cawangan Taman Seri Setia, Shahrudin Ramli, 72. Sangat menjadi teladan, perbelanjaan tersebut juga adalah dari poket mereka. Ya, bila pencen begini tentulah tidak besar poketnya.
 
“Sudah menjadi agenda tahunan cawangan kami untuk membawa anak-anak yatim ini ke gedung pakaian bagi membeli pakaian raya untuk mereka,” katanya.
 
Menurut beliau anak-anak yatim ini kebanyakannya membesar di Rumah Kebajikan tersebut. Bahkan, cukup dengan menyaksikan anak-anak ini menyambut layanan dari ‘datuk dan nenek’ ini, terserlah begitu dahaga dan kehilangan yang amat sangat dialami dalam hidup mereka. Sama sekali ianya tidak terisi, melainkan adanya tangan-tangan yang membelai seperti dilaksanakan para Assabiqun ini.
 
“Ada di antara mereka ini dihantar oleh pihak hospital ketika masih bayi apabila ibu yang melahirkannya melarikan diri.
 
“Sebahagian besarnya, anak-anak gelandangan yang tidak diketahui ibu bapa mereka, lalu dihantar oleh pihak Kebajikan Masyarakat untuk dipelihara dirumah ini,” ceritanya yang sangat menggambarkan curahan kasih sayang itu mengalir umpama sungai yang tidak terhalang oleh apapun.
 
Naib Ketua Muslimat PAS Taman Seri Setia, Khairiyah Mohamed Idris, menzahirkan rasa sedih apabila melihat wajah-wajah sayu anak-anak ini.
 
“Yang pasti, mereka ini tidak pernah merasai kasih sayang ibu dan bapa serta tidak pernah melalui pengalaman berhari raya bersama keluarga, kerana itu kami mengambil peranan sebagai datuk dan nenek angkat, berusaha menceriakan mereka dengan membelikan baju raya,” terang beliau yang menyebabkan sesiapa saja terkesima mendengarnya.
 
Rumah Titian Ashraful Rohaniah ini didiami hampir enam puluh orang  antaranya warga emas terbiar, OKU masalah mental dan anak-anak yatim.
 
Sumbangan derma amat dialu-alukan untuk membiayai operasi rumah kebajikan ini. Salurkan sumbangan anda pada nombor akaun ini, Rumah Titian Ashraful Rohaniah 0802125294005 CIMB Bank dan sebaranng pernyataan rujuk Rohana Saidin di talian 013-455 0013. – HARAKAHDAILY 3/6/2019
IMG 20190603 WA0050
 
IMG 20190603 WA0048
 
IMG 20190603 WA0046
- Advertisement -