Seindah Syawal program khusus mesra kaum wanita

- Advertisement -
JOHOR BAHRU: Muslimat PAS Negeri Johor telah melaksanakan program Seindah Syawal di Wad Obstetrik dan Ginekologi, serta Wad 4B dan 4C Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini semalam.
 
Program tersebut selaras 10 Arahan Presiden PAS supaya Dewan Muslimat mendepani pelbagai isu masyarakat dan menyentuh hati nurani rakyat melalui aktiviti kebajikan dan kekeluargaan.
 
Sehubungan itu, program ini memfokus menyantuni pesakit wanita dan para jururawat bertugas, termasuk ibu dan bayi yang baru bersalin atau masih menerima khidmat kesihatan.
 
Aktiviti kunjungan ziarah bercorak mesra wanita dengan menyampaikan sumbangan kuih, hamper dan duit raya ini telah dipimpin oleh Naib Ketua Muslimat PAS Johor, Sabariah Amin.
 
Ia merupakan program di bawah inisiatif Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Muslimat PAS Malaysia bersama LKK Muslimat PAS Johor dan juga Muslimat PAS Kawasan Tebrau.
 
Sabariah berharap program ini menambah keriangan Syawal dan turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Jabatan Patologi HSI, Dr Khadijah Dawam yang bersama menjayakan aktiviti.
 
Turut serta dalam delegasi ini antaranya ialah Pengerusi LKK Muslimat PAS Johor, Arbakyah Kasman dan Ketua Muslimat PAS Tebrau, Rohaiza Razali. – HARAKAHDAILY 1/6/2019
IMG 20190601 WA0001
 
IMG 20190601 WA0002
- Advertisement -