Muslimat cakna hidup Muslim Orang Asal di Bota

PARIT: Pihak berwajib diharap terus menitikberatkan hal kebajikan penduduk Orang Asal terutama bersungguh-sungguh dalam menggiatkan usaha dakwah kepada masyarakat tersebut.
 
Ketua Muslimat PAS Kawasan Parit, Dr Najihatussalehah Ahmad juga berharap kehidupan Akhirat mereka lebih terjamin melalui penerapan ilmu agama antaranya mewujudkan kelas KAFA.
 
Serunya, keperluan tersebut penting diadakan di perkampungan Orang Asal meskipun bilangan pelajar yang kecil bagi memastikan anak-anak setempat berpeluang mempelajari agama seperti masyarakat Muslim lain.
 
Perkara tersebut dikemukakan beliau setelah menjayakan program iftar jamaie bersama masyarakat Muslim Orang Asal di Kampung Suak Padi, Bota, di sini kelmarin.
 
Program ini turut diserikan dengan tazkirah Ramadan menampilkan pendakwah bertauliah yang juga Pengerusi Lajnah Tarbiyah Muslimat PAS Parit, Ustazah Yasidah Abu Bakar.
 
Sempena majlis, Muslimat PAS Parit juga telah menyerahkan duit raya, bekalan susu tepung kepada kanak-kanak dan agihan baju raya terpakai untuk keluarga Muslim di kampung ini. – HARAKAHDAILY 1/6/2019