Pemuda Selangor santuni gelandangan Ibu Kota

- Advertisement -
KUALA LUMPUR: Lajnah Kebajikan Pemuda PAS Negeri Selangor dengan kerjasama Syabab Care telah mengadakan iftar jamaei di sekitar Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini kelmarin.
 
Program ini bertujuan menyantuni gelandangan dengan edaran makanan iftar dalam menyemai kebajikan ke atas kelompok tersebut yang hidup susah akibat himpitan kehidupan di kota tersebut.
 
Menurut Timbalan Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar, program seumpama ini sangat baik kerana mendidik diri untuk melakukan kerja-kerja amal kebajikan. 
 
“Menerusi kerja mulia ini, ia adalah peluang menghapuskan dosa-dosa di bulan yang mulia ini melalui sedekah-sedekah yang diberikan dengan menyediakan dan mengedarkan kepada golongan yang hidup susah,” ujarnya.
 
Beliau juga memperingatkan Pemuda untuk memanfaatkan masa Ramadan dengan memperbanyakkan bacaan al-Quran yang mudah-mudahan menjadi syafaat di alam barzakh dan akhirat kelak. 
 
Hadir sama dalam program tersebut ialah Naib Ketua Pemuda PAS Selangor, Muhammad Fadzli Abu Bakar dan Timbalan Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Pusat, Mohd Yusoop Abd Hamid.
 
Menariknya program ini apabila Yusoop memaklumkan bahawa jadual giliran menyantuni golongan gelandangan kelmarin adalah kehadiran teramai setakat pernah dianjurkan pada Ramadan ini. 
 
Malah uniknya untuk kali ini, edaran iftar tidak hanya diberikan kepada gelandangan yang menunggu beratur di hadapan Pejabat Agung PAS tetapi turut diedar ke kawasan sekitar yang berdekatan. – HARAKAHDAILY 30/5/2019
IMG 20190530 WA0051
 
IMG 20190530 WA0048
- Advertisement -